Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd. Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, Konsortium Malaysian Resources Corporation Bhd.-Gamuda Bhd. (MRCB-Gamuda) telah dipilih untuk jajaran di bahagian utara sementara konsortium Syarikat Pembenaan Yeoh Tiong Lay Sdn. Bhd.-TH Properties Sdn. Bhd. (YTL-THP) untuk bahagian selatan projek infrastruktur berkenaan.

“Kontrak-kontrak itu akan dianugerahkan se­telah mencapai persetujuan rundingan antara MyHSR Corp. dan kedua-dua konsortium berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohd. Nur Ismal, PDP itu akan bertanggungjawab dalam mereka bentuk dan melaksanakan kerja-kerja sivil bagi projek HSR KL-SG berdasarkan kos dan jadual yang dipersetujui.

“Antara lain, ia juga akan me­laksanakan segala aktiviti yang diperlukan sepanjang peringkat perancangan, pembinaan, pengujian dan pentauliahan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana telah memilih dua konsortium yang diyakini untuk melaksanakan projek berkenaan.

“PDP ini akan membawakan kedua-dua pengalaman tempatan dan antarabangsa melalui pengalaman mereka dalam membina laluan rel di negara ini dan menerusi usaha sama dengan pakar-pakar HSR bagi membangunkan projek HSR KL-SG ini,” ujarnya. - K! ONLINE