Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr. Ong Kian Ming berkata, antara usaha kementerian adalah mengenal pasti kluster, termasuk automotif yang terletak di kawasan terbabit.

“Ini akan memberi kelebihan kepada Tanjung Malim serta Proton sendiri dari segi pemilikan rantaian bekalan yang baik.

“Kita juga melihat langkah rakan strategik Proton, Geely (Zhejiang Geely Holding Group) yang mengumumkan beberapa inisiatif membabitkan program pembangunan vendor di kawasan Proton City berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Forum Taman Perindustrian Wilayah Utara bertajuk Mengukuhkan Ekosistem Pembuatan di sini semalam.

Ditanya mengenai tawaran kerajaan Melaka untuk menjadikan negeri itu sebagai hab pengeluaran baharu kereta, Kian Ming menjelaskan, kesemua syor berkaitan sedang diteliti dan dipertimbangkan.

“Kami ambil maklum dan menerima semua cadangan dan saranan sektor swasta serta membabitkan pembinaan satu lagi kilang pengeluaran kereta ketiga di Alor Gajah, Melaka. Ini merupakan sebahagian daripada proses semakan semula.

“Namun, tiada apa-apa yang disahkan (setakat ini). Kami sedang meneliti semua pilihan yang ada dan akan mengumumkan dasar berkaitan apabila tiba masa yang tepat” katanya.

Selain itu, beliau menjelaskan, model pembangunan taman perindustrian baharu juga perlu diwujudkan, seiring dengan keperluan pelabur dan bagi memastikan perniagaan itu turut mengambil kira keadaan semasa.
– Bernama