Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Muha­mad Umar Swift (gambar kecil) berkata, beberapa bank termasuk UBS Group dan HSBC baru-baru ini menaik taraf saham Malaysia kerana kemampuannya untuk terus bertahan dalam keadaan peningkatan perang perdaga­ngan Amerika Syarikat-China, mencerminkan keyakinan mereka terhadap prospek pertumbuhan positif Malaysia.

“Kita mempunyai taburan pelabur yang sangat pelbagai, termasuk kehadiran pelabur institusi jangka panjang yang kukuh dan stabil, yang sentiasa menyediakan sokongan kepada aktiviti pengumpulan dana,” katanya pada majlis pelancaran dagangan sulung HPMT Holdings Bhd. di Pasaran Utama Bursa Malaysia di sini semalam.

Muhamad Umar menambah, pasaran modal Malaysia mendapat pengiktirafan global serta dikawal selia dengan baik dan memberi penekanan utama kepada perlindungan pelabur.

Jelasnya, menurut Laporan Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2019, Malaysia berada pada kedudukan kedua daripada 190 ekonomi dalam bahagian melindungi pelabur minoriti.

“Bank Dunia baru-baru ini menyenaraikan Malaysia sebagai negara ke-13 paling mudah untuk menjalankan perniagaan daripada 190 ekonomi, naik sembilan tangga daripada tempat ke-24 pada tahun sebelumnya.

“Ini membuktikan daya saing dan kekuatan ekonomi kita. Secara kolektifnya, faktor-faktor ini menyediakan pelbagai peluang bagi pewujudan nilai kepada pemegang kepentingan kami,” katanya.

Terdahulu pada majlis penyenaraian HPMT, beliau berkata, penyenaraian itu memberikan prospek yang baik bagi industri alatan pemotong di Malaysia, yang dilihat sebagai pemboleh penting bagi landskap pembuatan dan pemain utama dalam pembangunan ekonomi negara dalam menghadapi Revolusi Perindustrian yang meningkatkan penekanan kepada peralatan automasi dan mesin.

“Prospek bagi industri alat pemotong adalah positif, dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan pada 3.8 peratus dalam negara dan 3.9 peratus di dunia bagi tempoh 2019 hingga 2023.

“Berikutan perkembangan sedemikian, penyenaraian HPMT yang tepat pada masanya akan mengukuhkan lagi profil korporat bagi pembangunan rangkai­an ketika ia mencari peluang baharu untuk berkembang dalam dan luar negara,” katanya.

HPMT terlibat terutamanya dalam pembuatan dan pengedaran alat pemotong, dagangan alat pemotong pihak ketiga, menyokong peralatan dan aksesori bagi kerja logam serta menyedia­kan perkhidmatan penyalutan deposisi wap fizikal. – Bernama