YEW SIN

Penganalisis Ekonomi Bebas, Datuk Dr. Chin Yew Sin berkata, penguatkuasaan yang keterlaluan terhadap peserta pasaran berbanding negara Asia lain hanya menyebabkan prestasi bursa tempatan tidak memberangsangkan.

“Saya bersetuju bahawa pasaran saham memerlukan penyeliaan daripada pihak SC bagi memastikan keadilan, ketelusan dan kelancaran operasi.

“Namun, pada pendapat saya, kebanyakan pelabur merasakan bahawa pasaran saham Malaysia tidak boleh beroperasi secara bebas kerana terdapat campur tangan secara berlebihan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai kaji selidik persediaan tentang impak ekonomi negara di Wisma Huazong di sini semalam.

Yew Sin menjelaskan, berdasarkan kajian yang dibuat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merekodkan pertumbuhan negatif sebanyak 3.75 peratus dalam tempoh 2013 hingga 2017 berbanding Bursa Saham Indonesia (IDX) yang mencatatkan pertumbuhan positif 48.73 peratus.

“Ia turut mengakibatkan pengurangan Tawaran Awam Permulaan (IPO) dalam negara sebanyak 14 IPO pada 2017 berbanding 42 IPO di Bursa Saham Thailand (SET), 36 IPO di IDX dan 14 IPO di Bursa Singapura (SGX),” ujarnya.

Selain itu, Yew Sin menjelaskan, Malaysia berada pada kedudukan pertama pada 2015 sebagai negara yang menerima tindakan undang-undang seperti saman dan denda iaitu sebanyak 133 kes berbanding Singapura (58) dan Thailand (93).

Bagaimanapun, jumlah tindakan itu berkurangan pada 2017 kepada 63 kes berbanding Thailand (88) dan Singapura (59).