Airbnb merupakan platform perkongsian kediaman online yang kini memiliki lebih lima juta penginapan unik di 191 buah negara.

Ia mencatatkan kutipan lebih AS$1 bilion (RM4.19 bilion) pada suku ketiga tahun ini.

Ketua Dasar Awam Airbnb untuk Asia Tenggara, Mich Goh berkata, pencapaian negara bersamaan dengan pertumbuhan sebanyak 99 peratus dari tahun ke tahun.

Jelasnya, kini terdapat 44,000 penyenaraian kediaman Airbnb di Malaysia iaitu kenaikan hampir 60 peratus dari tahun ke tahun.

“Kami yakin momentum pertumbuhan ini dapat dikekalkan pada tahun hadapan.

“Apa yang menarik ialah warga emas berusia 60 tahun ke atas membentuk kumpulan umur tetamu Airbnb yang paling pantas berkembang di negara ini.

“Bilangan warga emas yang menempah dengan kami melonjak lebih 85 peratus, manakala bilangan tuan rumah warga tua turut meningkat hampir 52 peratus dari tahun ke tahun,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam

Goh menjelaskan, antara faktor yang menarik minat golongan ini adalah interaksi sosial, selain ingin memanfaatkan ruang yang tidak digunakan pada kediaman mereka.

Menurut beliau, pihaknya telah menandatangani memorandum kerjasama bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi mengukuhkan kehadiran di Malaysia.

Jelasnya, menerusi kerjasama itu, Airbnb akan berkongsi data dengan MPC bagi membantu membangunkan pelan dan dasar berkaitan industri pelancongan serta komuniti tempatan.

“MoU bersama MDEC pula memfokuskan kepada pemerkasaan usahawan hospitaliti tempatan terutamanya dalam memanfaatkan teknologi untuk mempromosikan produk pelancongan.

“Selain itu, kami juga sedang dalam perbincangan bersama Kementerian Kewangan, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membantu pelaksanaan kutipan cukai pelancongan bagi sewaan bilik,” katanya.