Usaha itu juga dan membolehkan pengguna menguruskan perbelanjaan tenaga isi rumah secara lebih cekap.

TNB menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya sedang giat memasang peranti itu di kesemua 340,000 kediaman pelanggan di Melaka susulan maklum balas positif projek perintis di negeri tersebut dan 200 isi rumah di Putrajaya pada tahun lalu.

“Penggunaan meter pintar me­rupakan sebahagian daripada inisiatif TNB selaras dengan pelan strategik yang sedang dilaksanakannya sehingga tahun 2025 bagi meningkat kepuasan pelanggan.

“Meter pintar, yang telah lama digunakan di negara-negara maju, membuka jalan ke arah masa depan yang lebih pintar, hijau dan penggunaan tenaga yang lebih cekap,” katanya di sini semalam.

Pada tahun 2015, syarikat utiliti nasional berkenaan me­ngumumkan bahawa 8.5 juta pe­langgan akan mempu­nyai akses terhadap data masa sebenar penggunaan tenaga elektrik mereka menerusi Infrastruktur Permeteran Canggih (AMI) atau meter pintar yang akan diper­kenalkannya.

Pemasangan teknologi ber­kenaan bertujuan memastikan kelestarian dan keselamatan tenaga selain membantu pelanggan memantau penggunaan elektrik.

Ia juga bermatlamat untuk mendidik umum mengenai kesan pelepasan karbon dan pembaziran yang berlaku melalui data bil yang dikemas kini dalam masa setengah jam.

Teknologi meter pintar yang diimport dari Perancis dan Amerika Syarikat itu dipasang secara percuma oleh TNB.

Beberapa negara di rantau Asia Pasifik khususnya Australia, New Zealand, Jepun dan Korea Selatan menggunakan meter pintar pada skala yang meluas.