Pengarah Urusan Sharp, Robert Wu berkata, 100 buah bilik darjah terlibat dalam usaha berkenaan bagi meletakkan tahap pendidikan di negara ini ke arah bilik darjah abad ke-21.

“Saya percaya kombinasi teknologi penyelesaian pintar Sharp menerusi teknologi papan interaktif dan kepakaran Eduspec dalam penyelesaian pendidikan integrasi akan membawa sinergi yang jelas ke arah matlamat ini.

“Langkah kami seterusnya adalah memilih sekolah-sekolah model dengan bantuan Kementerian Pendidikan dan Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) untuk projek perintis ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas acara menandatangani memorandum persefahaman antara Sharp dan Eduspec sempena Festival Guru Malaysia 2019 di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Eduspec, Lim Een Hong; Ketua Perniagaan Asean Sharp, Yoshihiro Hashimoto dan Timbalan Pengarah Urusan Sharp Electronics Malaysia, Ting Yang Chung.

Kelengkapan papan pintar tersebut yang bersaiz sehingga 98 inci (248.92 sentimeter) bukan sahaja berperanan menggantikan papan putih, bahkan berfungsi mengikut gaya pembelajaran termasuk di makmal dan dilengkapi dengan pe­ralatan pintar lain.

Selain itu, Robert menjelaskan, kerjasama tersebut turut mewujudkan pembelajaran pintar dengan memanfaatkan Internet of Things (IOT) dan analisis data raya serta meningkatkan pengalaman pem­belajaran di prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan institut teknikal.

“Kami percaya kerjasama ini pen­ting bagi membantu Malaysia meningkatkan penanda aras dalam bidang pendidikan terutamanya dalam pembelajaran sains, teknologi dan matematik di sekolah,” katanya.