Pengurus Besar dan Ketua Negara Sistem Penyelesaiannya, Seelan Kandasamy berkata, pe­ngenalan tersebut dilihat mampu menyediakan perkhidmatan penyelesaian secara holistik selain membantu sektor korporat dan awam negara untuk berkembang dengan lebih kompetitif.

“Syarikat sebelum ini memberi tumpuan terhadap pasaran dalam sektor pembinaan, bagaimanapun kami melihat ia terlalu padat.

“Sehubungan itu, Panasonic mengambil keputusan untuk meneroka cabang lain yang mempunyai prospek lebih positif.

“Penyelesaian yang dibangunkan ketika ini diyakini mampu memenuhi keperluan pengguna di era transformasi digital.

“Malah ia turut dipilih bersandarkan kepakaran, kecekapan dan pengalaman syarikat dalam segmen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran pameran Panasonic FutureTech 2018 di Connexion & Conference The Vertical, Bangsar South di sini semalam.

Turut hadir Timbalan Pengarah Urusannya, Hiroyuki Muto.

Panasonic Futuretech 2018 bakal menampilkan pelbagai rangkaian penyelesaian terkini yang merangkumi beberapa cabang utama dan menawarkan teknologi rintis bagi menghasilkan penyelesaian pintar serta lengkap bagi mengoptimumkan pengalaman pelanggan serta produktiviti industri.

Dalam pada itu, Panasonic Malaysia mengunjurkan mampu mencapai pertumbuhan 135 peratus menerusi rangkaian penyelesaian terbaharu berkenaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Penyelesaian bagi skala se­perti ini biasanya mengambil tempoh masa yang agak lama untuk melihat sambutannya.

“Malah syarikat turut menjangkakan ia dapat memenuhi keperluan industri secara menyeluruh berdasarkan kedudukan kukuh jenama dalam segmen berkenaan.

“Menerusi pengenalan pelancaran ini, kami menjangkakan kadar pengambilan yang lebih tinggi daripada sektor awam berbanding korporat,” ujarnya.

Syarikat memperkenalkan penyelesaian di bawah segmen pendidikan termasuk Sistem Bilik Darjah Pintar, Sistem Rakaman Kuliah Pintar, Bilik Darjah Imersif dan Penyelesaian Ta­yangan dan Paparan Besar Panel­ Sentuhan Interaktif.

Menerusi penyelesaian korporat, Panasonic antaranya memperkenalkan Pejabat Pintar dengan Sistem Kawalan Berpusat, Pusat Kawalan Pengawasan Pintar Berpusat, Penyelesaian Sistem Komunikasi Bersepadu IP dan Persidangan Video, Sistem Kawalan Pejabat Perkongsian Ruang.

Bagi Penyelesaian Runcit Masa Depan pula, segmen itu turut menyediakan penyelesaian Unjuran Pemetaan, Ruang Pameran Produk Intuitif dan Pe­ngalaman Jamu Selera Interaktif.