Timbalan Pengarah Urusannya, Hiroyuki Muto berkata, sasaran tersebut disokong berdasarkan jangkaan ekonomi negara yang lebih stabil sekali gus membantu dalam merancakkan lagi aktiviti sektor niaga ke niaga (B2B).

“Ketika ini, kami turut terkesan dengan pelbagai faktor luar seperti isu perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China selain prestasi ringgit yang agak lemah, namun syarikat yakin pelaksanaan sistem ekonomi yang diperkenalkan diharap dapat mengembalikan potensi perniagaan serta menyokong industri secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pameran Panasonic FutureTech 2018 di Connexion & Conference The Vertical, Bangsar South di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengurus Besar dan Ketua Negara Sistem Penyelesaiannya, Seelan Kandasamy.

Selain itu, menurut Hiroyuki, Panasonic Malaysia menyasarkan peningkatan kepada 22 peratus bagi perkongsian pasaran dalam kategori produk elektronik pengguna pada tahun 2019 berbanding sebanyak 20 peratus yang diperoleh pada tahun ini.

Beliau berkata, bagi mencapai unjuran berkenaan, syarikat akan terus memberi tumpuan terhadap peningkatan pengalaman pelanggan menerusi pelbagai tawaran produk yang mempunyai nilai tarikan kepada pengguna termasuk dalam rangkaian kecantikan.

“Panasonic Malaysia selain itu turut memfokuskan kepada segmen penyaman udara dengan melaksanakan langkah strategik menerusi pengeluaran produk ini, ia sekali gus menunjukkan komitmen kami dalam memastikan kualiti udara yang terbaik kepada pengguna.

“Syarikat sentiasa mengamalkan konsep kehidupan lebih baik justeru, penekanan terhadap produk ini akan diberikan.

“Ia bakal meliputi aspek ventilasi, peranti kecekapan tenaga dan sokongan persekitaran kecerdasan buat­an (AI),” katanya.

Sementara itu, Panasonic Malaysia memperkenalkan penyelesaian pintar dan imersif terbaharu ketika pameran FutureTech 2018 yang berlangsung baru-baru ini dengan memberi tumpuan kepada tiga cabang teras iaitu sektor pendidikan, korporat serta perniagaan dan hiburan.

Menerusinya, syarikat me­ngunjurkan mampu mencapai pertumbuhan 135 peratus menerusi rangkaian penyelesaian terbaharu berkenaan dalam tempoh tiga tahun akan datang.