P.A. Resources berkata, perjanjian perniagaan yang akan memberi manfaat bersama itu memperlihatkan pembelian material tertentu dan barangan lain daripada First Solar daripada P.A. Extrusion bagi penggunaan penghasilan modul solar fotovoltan.

“Perjanjian ini akan bermula dari tahun ini dan kekal efektif untuk tempoh tiga tahun,” katanya menerusi makluman kepada Bursa Malaysia di sini semalam.

P.A. Resources berkata, walaupun terdapat risiko yang memberi kesan terhadap perjanjian berkenaan termasuk perubahan dalam persekitaran ekonomi, kawal selia dan operasi seperti risiko penyiapan projek, turun naik harga material dan mata wang asing, namun Kumpulan akan mengambil langkah sesuai dalam menangani situasi yang dihadapi.

“Setelah mempertimbangkan segala faktor yang relevan, Lembaga Pe­ngarah berpendapat bahawa persetujuan berkenaan akan memberi manfaat kepada Kumpulan P.A. Resources,” tegasnya.

Syarikat pegangan pelaburan yang menyediakan penyemperitan aluminium, fa­brikasi dan pelbagai perkhidmatan berkaitan itu berkata, perjanjian yang dimeterai tidak memberi sebarang impak terhadap modal saham dan struktur pemegangan saham P.A. Resources.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Seri Lau Kuan Kam berkata, usaha itu dijangka memberi sumbangan positif terhadap pendapatan dan aset bersih Kumpulan P.A Resources bagi tahun-tahun kewangan semasa dan akan datang.