Pada 16 November lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) me­ngumumkan KDNK negara berkadar 4.4 peratus pada suku ketiga, sebahagiannya dipacu oleh perbelanjaan isi rumah dan pelaburan swasta yang tinggi.

Bank pusat menyatakan bahawa untuk tempoh sembilan bulan pertama, ekonomi berkembang sebanyak 4.7 peratus dan berada pada landasan untuk mencatatkan pertumbuhan 4.8 peratus untuk keseluruhan tahun 2018.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof. Emeritus Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, kadar pertumbuhan suku ketiga KDNK berada dalam jangkaan memandangkan perdagangan pada bulan Julai dan Ogos tidak begitu memberangsangkan.

Katanya, ekonomi Malaysia pada masa ini dalam proses menyesuaikan diri dengan situasi ekonomi semasa.

Menurut beliau, pihaknya meramalkan KDNK 2018 berada pada kadar 4.7 peratus.

“Asas masih lagi kukuh tetapi kelemahan permintaan luaran mengehadkan prestasi pertumbuhan keseluruhan, manakala permintaan domestik masih memacu pertumbuhan untuk suku berikutnya,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid juga yakin bahawa sektor swasta akan terus memacu pertumbuhan ekonomi.

“Kadar sifar Cukai Barang dan Perkhidmatan, sektor pekerjaan yang kukuh dan pertumbuhan pendapatan, selain sentimen pengguna yang positif adalah faktor utama perbelanjaan pengguna yang tinggi pada suku ini.

“Begitu juga dengan pelaburan swasta yang melaporkan pertumbuhan yang baik, 6.9 peratus.

“Ini kerana pengeluar aktif meningkatkan kapasiti penge­luaran terutamanya yang terbabit dalam industri berorientasikan eksport,” katanya.

Beliau menambah, peningkatan itu juga membenarkan skala ekonomi untuk memenuhi permintaan yang tinggi sementara kadar pertukaran menjadi kompetitif yang menyokong eksport

Namun, katanya, perkembangan luaran seperti kesan perang perdagangan antara AS dan China terhadap pertumbuhan global berkemungkinan mempengaruhi keseluruhan sentimen perdaga­ngan dan pasaran. – Bernama