Bank pusat itu dalam satu kenyataan berkata, pada kadar semasa OPR, tahap akomodatif dasar monetari adalah sejajar dengan pendirian dasar yang ditetapkan.

“MPC akan terus memantau dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek pertumbuhan domestik dan inflasi,” kata kenyataan tersebut di sini semalam.

Menurut BNM, ekonomi Malaysia terus berkembang pada separuh tahun pertama 2018, disokong oleh aktiviti sektor swasta serta rangsangan tambahan daripada eksport bersih.

“Prestasi pertumbuhan yang positif dijangka terus mampan, didorong oleh permintaan dalam dan luar negeri.

“Manakala penggunaan swasta akan disokong oleh peningkatan yang berterusan dalam upah dan guna tenaga dengan sokongan tambahan daripada perbelanjaan isi rumah yang lebih tinggi ekoran pelepasan cukai,” ujarnya.

Bank pusat menjelaskan, aktiviti pelaburan dijangka mendapat sokongan daripada penambahan kapasiti pengeluaran, terutamanya oleh industri berorientasikan eksport dan projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan, khususnya dalam subsektor pengangkutan serta utiliti.

“Sektor luaran akan terus mendapat manfaat daripada momentum pertumbuhan global yang terus mampan, dan prospek pertumbuhan negara akan menjadi bertambah baik apabila dasar dalam negeri semakin jelas pada bulan-bulan akan datang.

“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka terus berada pada landasan pertumbuhan yang kukuh,” jelasnya.

Sementara itu, BNM berkata, pasaran kewangan domestik kekal berdaya tahan meskipun terdapat aliran keluar portfolio bukan pemastautin.

“Kadar pertukaran ringgit akan lebih mencerminkan asas-asas ekonomi apabila ketidakpastian luaran dan domestik berkurang.

“Meskipun terdapat ketidaktentuan pasaran kewangan yang ketara, keadaan monetari dan kewangan domestik terus menyokong pertumbuhan ekonomi,” ujarnya.