Myra Putra yang berkonsepkan pangsapuri kos sederhana terletak di Desa Pinggiran ­Putra, Kajang merupakan sebuah projek pembangunan di bawah Skim MyHome Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Projek tersebut menawarkan rebat sebanyak RM30,000.

Pengurus Besar Jualan dan Pemasaran OIB, Wendy Lim berkata, kediaman yang dijual pada harga RM299,800 seunit itu mempunyai keluasan 85.47 meter persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air.

Menurutnya, pembeli boleh menjangkakan kehidupan yang berkualiti dengan adanya rekaan dalaman yang menarik, koridor yang terang dan luas serta kemudahan bertaraf kondo.

“Terdapat tiga faktor yang dicari pemilik rumah daripada golongan muda iaitu harga yang berpatutan, ruang kehidupan yang menarik serta lokasi sesuai untuk seisi keluarga.

“Walaupun terletak tidak jauh dari pusat bandar Putrajaya, harga Myra Putra adalah 15 pe­ratus lebih rendah berbanding harga rumah yang sering ditawarkan dalam kawasan Putrajaya sekali gus menjadikannya pilihan terbaik untuk golongan muda yang berkeluarga mahupun bujang,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.

Wendy menjelaskan, Myra Putra bukan sahaja dilengkapi dengan pagar dan pengawal keselamatan, malah ia direka dengan reka bentuk unik berserta warna menarik dilengkapi rumah yang kelab yang sememangnya menjadi tempat sesuai untuk beriadah sambil melihat kanak-kanak bermain.

Tambah beliau, Myra Putra turut membawakan cita rasa eksklusif kerana terletak di kawasan berkepadatan rendah dengan hanya 200 unit pangsapuri melibatkan dua blok yang mempunyai lima aras setiap satu dan hanya 20 unit rumah untuk setiap aras.

“Bukan sahaja memiliki lif, kemudahan bertaraf kondo ini juga mempunyai ruang untuk aktiviti luar, ruang teater, taman permainan dilengkapi trampolin, platform persembahan, ruang sambutan, bilik permainan dan gim yang terletak di dalam rumah kelab,” katanya.