Ketua Pegawai Eksekutifnya, Syed Abdull Aziz Jailani Syed Kechik (gambar) berkata, pertambahan itu dipacu oleh strategi pengukuhan portfolio perbankan perniagaan dan pengguna serta prospek lebih baik bagi sektor perbankan Islam.

Bagi tahun kewangan 2017, OCBC Al-Amin mencatatkan PBT bernilai RM253 juta, mening­kat 33 peratus daripada RM191 juta yang direkodkan pada tahun 2016.

Menurut beliau, dengan menggunapakai kekuatan bank itu dalam portfolio perbankan perniagaan, pihaknya komi­ted untuk mengukuhkan segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada tahun ini kerana ia dilihat berpotensi.

“Kami melihat terdapat perkemba­ngan positif bagi segmen PKS dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, didorong oleh pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan.

“Sekali gus, membuka peluang kepada OCBC Al-Amin yang mempunyai produk-produk bersesuaian dengan segmen tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kos­mo! dalam satu temu bual di sini semalam.

Syed Abdul Aziz Jailani menjelaskan, OCBC Al-Amin juga mengetengahkan strategi untuk mengukuhkan segmen pengurusan kekayaan, dipacu oleh pertumbuhan menggalakkan dalam segmen-segmen seperti produk pelaburan, sukuk, takaful, deposit dan unit amanah.

“Diperkukuhkan lagi oleh perkemba­ngan eko sistem sektor perbankan Islam itu sendiri yang semakin mengukuh dan mendapat permintaan tinggi daripada pe­langgan-pelanggan korporat, kami yakin OBCB Al-Amin mampu berkembang pantas, termasuk dari segi pembia­yaan dan keuntungan,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai pertumbuhan pembiayaan bagi tahun ini, Syed Abdull Aziz Jailani menjelaskan, OCBC Al-Amin mengunjurkan pertumbuhan pembiayaan lima hingga lapan peratus, meningkat berban­ding satu peratus yang dicatatkan pada tahun 2017.

“Pada tahun lepas, terdapat banyak faktor ketidaktentuan pasaran ter­utamanya di peringkat global, membuatkan kami mengambil langkah berjaga-jaga dalam segmen pembiayaan, sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhannya.

“Bagaimanapun, pada tahun ini, prospek pasaran dilihat lebih positif, dengan asas-asas ekonomi negara yang kukuh, pengukuhan harga mi­nyak dan gas serta penstrukturan semula polisi-polisi yang sedang dilakukan kerajaan,” ujarnya.

Setakat ini, OCBC Al-Amin telah mengeluarkan pembiayaan bernilai RM10 bilion, yang mana 80 peratus daripadanya terdiri daripada portfolio perbankan perniagaan dan selebihnya adalah perbankan pengguna.