Pengurus Besar Jenama NYSS, Muhammad Adam Mah berkata, pembukaan francais restoran berkenaan di luar negara adalah atas faktor atas permintaan yang tinggi terhadap industri makanan halal dari Malaysia. 

"Para pelabur dari kedua-dua buah negara berkenaan melihat potensi NYSS yang memperkenalkan menu hidangan daging stik berkualiti tinggi dan lembut pada harga berpatutan.

"Permintaan terhadap industri makanan halal Malaysia di Kuwait dan Japan sangat tinggi, selain itu mereka meminati cara kami menyajikan stik segar yang dihidangkan panas-panas kepada para pelanggan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sijil Pengiktirafan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kepada premis ke-10 NYSS di Pusat Membeli-Belah Alamanda di sini hari ini.

Menurut Adam, pihaknya sedang memohon sijil francais daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), jika tiada halangan NYSS buat julung kalinya berada di pasaran antarabangsa pada suku kedua tahun ini.

Tambah beliau, NYSS yang beroperasi sejak 2014 mempunyai 10 buah cawangan di seluruh negara merupakan restoran makanan 'stik' pertama di Malaysia yang memperoleh sijil halal dari Jakim.

"Kesemua 10 buah restoran NYSS telah memperoleh sijil halal dari Jakim dan terbaharu adalah cawangan NYSS di Alamanda Putrajaya ini. Jadi para pelanggan terutama beragama Islam tidak perlu berasa was-was untuk menikmati hidangan stik terbaik dari restoran kami.

"Atas permintaan, NYSS dijangka membuka tiga lagi cawangan iaitu di Melaka, Pahang dan Johor pada tahun ini bagi memenuhi pasaran pelanggan di negeri-negeri selain Lembah Klang buat masa ini," katanya.

Pada majlis tersebut, Penolong Pengarah Bahagian Hab Halal Jakim, Mohd. Safzan Mohd. Mukhtar turut menyerahkan sijil pengiktirafan halal NYSS cawangan Pusat Membeli-Belah Alamanda kepada Muhammad Adam.

Dalam pada itu, katanya, walaupun negara berhadapan ketidaktentuan ekonomi namun NYSS terus mampu bertapak dan melebarkan perniagaannya dengan peningkatan jumlah pelanggan setiap hari.

"Keunikan kami adalah hidangan stik berkualiti tinggi seperti 'rib eye', 'striploin' dan 't-bone' yang dihidangkan dengan kaedah 'sizzling' pada harga berpatutan di bawah RM50," katanya lagi. - K! ONLINE