Pengarah Urusannya, Wan Mohd. Hafiz Wan Mohd. Ariffin berkata, kain yang diperkenalkan sejak awal tahun ini mendapat sambutan luar biasa daripada peminat batik, ter­utamanya golongan muda.

Menurutnya, dari Janua­ri sehingga Oktober lalu, syarikat mencatatkan jualan lebih 80,000 helai batik pastel berkenaan.

“Setakat ini kami telah mengeluarkan sebanyak 20 rekaan batik pastel bermotif sinaran dengan bercirikan bunga-bungaan dan abstrak.

“Kualiti batik pastel Noor Arfa juga sememangnya bermutu tinggi kerana kami menggunakan kain kapas benang 40 yang membuatkan si pemakai merasa sejuk dan selesa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas maj­lis Batik Kita Ohsem di Kompleks Kraf Noor Arfa, Chendering dekat sini semalam.

Wan Mohd. Hafiz berkata, syarikat berkeyakinan untuk mencapai unjuran tersebut ekoran keunikan produk yang didatangkan dalam pelbagai warna lembut yang menarik.

Tambahnya, Noor Arfa turut menyasarkan pertambahan bilangan ejen pesan hantar kepada 700 orang sehingga akhir tahun 2019.

“Selain di butik Noor Arfa, kami turut mempu­nyai 300 ejen pesan hantar berdaftar untuk memasarkan batik pastel ini di seluruh negara.

“Noor Arfa ingin mempelawa usahawan baharu termasuk mereka yang mahu menjana pendapatan tambahan untuk menyertai perniagaan batik pastel kerana kami yakin produk ini mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran,” ujarnya.

Batik pastel Noor Arfa yang sepanjang dua meter dijual pada harga RM45 sehelai.