NWA pada tahun lalu direkodkan sebanyak RM102.1 bilion.

Sementara, keuntungan sebelum cukai belum diaudit dana strategik milik kerajaan itu me­ningkat sebanyak 84.7 peratus kepada RM2.89 bilion daripada RM1.57 bilion pada 2016.

Menurut Pengarah Urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, pencapaian yang memberangsangkan itu antara lain dipacu oleh peningkatan prestasi syarikat-syarikat teras Khazanah termasuk CIMB Group Holdings Bhd., Axiata Group Bhd., Telekom Malaysia Bhd., Malaysia Airports Holdings Bhd. dan Tenaga Nasional Bhd.

“Transformasi dan penciptaan nilai yang sedang berjalan dalam syarikat-syarikat teras kami jelas memberi kesan dan menjadi pemangkin pembangunan di peringkat domestik, manakala pelaburan antarabangsa terutamanya dalam bidang teknologi dan di China terus mempamerkan perkembangan yang menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pembentangan Ulasan Tahunan Khazanah ke-14 (KAR 2018) yang turut dihadiri kedua-dua Timbalan Pengarah Urusan Khazanah, Ahmad Zulqarnain Onn dan Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz di sini semalam.

Azman berkata, Khazanah membuat sejumlah 14 pelaburan baharu berjumlah RM6.3 bi­lion dan 12 pelupusan pegangan pada 2017 yang menjana hasil sebanyak RM6.4 bilion dengan keuntungan pelupusan sebanyak RM2.5 bilion.

“Pelaburan baharu termasuk dalam syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi, edotco Group Sdn. Bhd.; pasaran kereta terpakai terkemuka di Eropah, Auto1 Group; per­khidmatan sambungan internet, Sigfox dan platform perkhidmatan online, Koubei iaitu sebuah syarikat gabungan Alibaba.

“Selain itu, kutipan nilai turut diperoleh menerusi pelupusan penuh VeloCloud Networks Inc., Tech Mahindra dan China Huarong Asset Management Co. Ltd.,” jelasnya.

Dari tahun 2004 hingga 2017, Khazanah telah membuat sejumlah 175 pelaburan bernilai RM87.9 bilion dan 102 pelupusan yang menjana perolehan sebanyak RM59.2 bilion dengan keuntungan keseluruhan daripada pelupusan berjumlah RM27.4 bilion.

Pelaburannya di Malaysia mewakili 55.5 peratus daripada nilai aset boleh direalisasikan pada tahun lalu, manakala pelaburan luar negara menyumbang sebanyak 44.5 peratus.

Mengulas mengenai prospek bagi tahun 2018, Azman berkata, Khazanah akan terus kekal pada landasan sedia de­ngan fokus terhadap penyediaan portfolio yang berdaya tahan tetapi pada masa yang sama, masih mampu memacu pertumbuhan jangka panjang.

“Tahun ini akan menyaksikan pelancaran Transformasi 2.0 yang merupakan sebuah inisia­tif selama lima tahun untuk meningkatkan penciptaan nilai dan pres­tasi, selain memberi tumpuan untuk memacu lands­kap perniagaan yang mampan dan bertanggungjawab serta pembangunan kapasiti bakat,” katanya.