Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azmir Merican berkata, sehingga 30 Jun lalu, kontrak di tangan syarikat itu kekal kukuh pada RM13.5 bilion yang dijangka bertahan selama lima hingga 10 tahun.

Sejajar dengan unjuran tersebut, beliau berkata, syarikat juga kini berusaha untuk mendapatkan kontrak berskala besar yang lain di Malaysia, Singapura dan Taiwan yang merupakan sebahagian daripada strategi pengemba­ngan luar negara.

“Dari aspek perkhid­matan rundingan, UEM Edgenta akan memberi fokus dalam menyampaikan projek dan kerja sedia ada seperti menyokong Lebuh Raya Pan Borneo selama lebih enam tahun, jurutera pemeriksaan bebas untuk Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak (lebih 6 tahun) serta pengurusan penyelenggaraan rangkaian (lebih lima tahun).

“Syarikat juga sentiasa me­ninjau peluang lain dalam sektor jalan raya dan rel,” katanya pada sidang akhbar sempena Prestasi Kewangan UEM Edgenta bagi separuh tahun pertama 2018.

Azmir berkata, pihaknya melihat terdapat potensi pertumbuhan dalam sektor penjagaan kesihatan menerusi perluasan penawaran dan pertumbuhan asas pelanggan di seberang laut.

“Pertumbuhan perolehan untuk segmen berkenaan akan dicapai melalui pemilikan lebih banyak projek daripada kedua-dua hospital kerajaan dan swasta, khususnya apabila UEMS Pte. Ltd. terus menyampaikan rekod kukuh dalam pembaharuan dan kadar pegangan kontrak.

“Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, UEM Edgenta telah dianugerahkan kontrak bernilai SGD39.3 juta (RM117.5 juta) bagi perkhidmatan porte­ring dan perkemasan katil hospital di Hospital Besar Sengkang yang mempunyai 1,000 buah katil, Hospital Mount Elizabeth Novena (333 katil) dan Hospital Komuniti Ren Ci (277 katil) di Singapura.

“Kami juga meraih kontak bagi Hospital Besar Tri-Service yang mempunyai 1,800 katil dan Hospital Far Eastern Memorial (1,000 katil) di Taiwan,” jelasnya.

Beliau menambah, pihaknya akan memberi tumpuan dalam mempertingkatkan keberkesanan operasi melalui perkongsian amalan terbaik dan teknologi antara konsesi yang dimiliki dan perniagaan komersial.