Pencapaian itu dipacu oleh prestasi domestik dan eksport yang kukuh dengan peningkatan sebanyak 4.1 peratus dan 3 peratus masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Alois Hofbauer berkata, tumpuan berterusan terhadap inovasi dan penambahbaikan turut menyumbang kepada keputusan positif itu, selain produk baharu dan menarik membantu menjana pertumbuhan perolehan syarikat.

“Pada tahun yang dilaporkan, kami berjaya melancarkan pelbagai produk baharu termasuk Milo Nutri-up iaitu produk berkalsium tinggi yang kaya dengan protein dan bijirin Nestum dengan susu di dalam botol.

“Selain itu, prestasi kukuh Kumpulan turut dicapai melalui pelaburan strategik dalam beberapa kempen termasuk Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Hari Sarapan Milo serta Stop The Count oleh Nestle Omega Plus.

“Tumpuan utama kami adalah untuk menghasilkan produk berkualiti tinggi yang dihargai rakyat Malaysia serta menggalakkan gaya hidup yang lebih sihat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Sementara itu, mengenai prospek akan datang, Hofbauer berkata, Nestle Malaysia akan terus berpandukan matlamat bagi meningkatkan kualiti hidup dan menyumbang ke arah masa depan yang lebih sihat untuk semua.

“Walaupun tahun 2018 dijangka terus mencabar, syarikat akan berusaha gigih untuk memastikan pertumbuhan mapan dengan memberi tumpuan terhadap langkah me­ningkatkan kecekapan di seluruh rangkaian bekalan.

“Kami juga akan melabur semula dengan penjimatan yang telah dicapai bagi pertumbuhan masa depan,” ujarnya.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2017, Nestle Malaysia mencatatkan keuntungan sebelum cukai lebih tinggi berjumlah RM814 juta dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM646 juta, ma­sing-masing naik sebanyak 6.2 peratus dan 1.4 peratus.

Prestasi yang lebih baik itu didorong oleh pengurusan kos yang berhemat serta pelaburan pemasaran dan perdagangan yang efektif.