Ketua Pegawai Eksekutifnya, Juan Aranols berkata, sebahagian besar daripada jumlah tersebut iaitu kira-kira RM100 juta adalah untuk peluasan kilang di Chembong, Negeri Sembilan.

Ia bertujuan untuk mewujudkan Pusat Kecemerlangan Pengeluaran Milo terbesar di dunia.

Jelasnya, projek naik taraf kilang tersebut telah pun bermula dan pihaknya kini dalam proses memasang peralatan.

“Kami dijangka boleh mula meningkatkan kapasiti pengeluaran pada Julai depan dan proses ini dijangka selesai sepenuhnya pada September.

“Malaysia merupakan pasaran utama produk Milo dengan anggaran pengambilan sebanyak sembilan juta cawan Milo setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyua­rat Agung Tahunan Nestle Malaysia di sini semalam.

Turut hadir Pengerusi Nestle Malaysia, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail dan Ketua Pegawai Kewangan Nestle Malaysia, Craig Connolly.

Nestle Malaysia mencatatkan perolehan berjumlah RM5.5 bilion dan keuntungan sebelum cukai RM659 juta tahun lalu, dipacu oleh perniagaan domestik dan eksport yang kukuh.

Untuk suku pertama tahun ini, Kumpulan mencatatkan pertumbuhan perolehan ta­hunan sebanyak 3.2 peratus selepas mengambil kira pelu­pusan perniagaan tenusu dingin pada Januari, selain merekodkan peningkatan jualan domestik sebanyak 4.9 peratus.

Selain itu, Aranols menjelaskan, pihaknya yakin dapat meneruskan momentum pertumbuhan yang dicapai pada awal tahun ini.

“Bukan rahsia pasaran pe­langgan kini agak mendatar dengan sentimen yang tidak begitu positif, namun kami yakin permintaan untuk produk kami kekal sihat.

“Sebarang kenaikan harga bagi produk kami hanya akan dilakukan sebagai langkah yang terakhir. Kenaikan harga sekiranya ada, ia adalah sangat sedikit dan tidak akan menyentuh barangan yang kerap digunakan golongan B40,” katanya.