Pengarah Urusan GCH Retail, Pierre-Oliver Deplanck berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk menaik taraf ke­semua 86 cawangan tetapi akan memberi keutamaan kepada 27 cawangan terlebih dahulu.

Katanya, buat masa ini cawangan yang telah selesai dinaik taraf ialah Giant Batu Caves di sini dan sebanyak empat lagi ca­wangan akan selesai melalui proses sama bulan ini.

“Proses naik taraf akan dilakukan secara berperingkat-peringkat dan setiap bulan, sebanyak empat atau lima cawangan akan disiapkan.

“Ia adalah bagi memenuhi keperluan dan kehendak pelanggan di samping menawarkan lebih kepelbagaian produk dan pengalaman membeli-belah lebih selesa,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran semula Giant Batu Caves yang berwajah baharu di sini semalam.

Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Ne­geri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Tambah Deplanck, an­ta­ra pengubahsuaian yang dilakukan merangkumi bahagian susun atur produk, kod warna untuk membezakan kawasan serta pengenalan zon harga flat yang memaparkan produk dengan julat harga tetap pada RM1, RM3, RM5, RM10 dan RM15.

“Projek naik taraf ini akan bertumpu kepada cawangan yang berpres­tasi tinggi dan sering menjadi tumpuan utama pelanggan seperti di pusat bandar,” katanya.

Sempena pembukaan semula cawangan itu, Giant Batu Caves turut melancarkan pelbagai tawaran dan aktiviti se­perti pemberian beg cenderahati kepada 1,000 pelanggan pertama yang ber­belanja di situ.

Selain itu, setiap pembelian bernilai RM80 dan ke atas dalam satu resit tunggal akan diberi baucar RM5 manakala pe­langgan yang berbelanja di bahagian HappyFresh cawangan tersebut turut mendapat potongan RM18 dengan pembelian minimum RM120.