Bagaimanapun, bagi pengasas syarikat N Victory (M) Plt., Nadia Rasli, 32, itu merupakan rutin mingguannya yang terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Terengganu untuk melawat anaknya yang dipelihara oleh ibunya sama ada menaiki pengangkutan awam atau memandu.

“Dalam kesibukan menguruskan hal ke­luarga dan kerja, saya mula memikirkan tentang masa yang begitu singkat bersama keluarga serta rindukan masa terluang untuk bersama mereka sehingga nekad untuk berhenti kerja.

“Bermula di situ, rutin hidup saya mula berubah ke arah merancang membangunkan perniagaan sendiri dan dalam masa yang sama membuat kaji selidik untuk menjual produk yang bakal mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Pada tahun 2015, pasaran ketika itu sibuk dengan jualan produk pelangsingan badan atau produk pembakar lemak yang mana sebilangan masyarakat teruja untuk menjadi kurus dan cantik melalui amalan makan suplimen atau jus kesihatan,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Mengambil peluang tersebut, Nadia mula memperkenalkan produk sulungnya, Elite S7 dan ia telah mendapat sambutan menggalakkan di pasaran tempatan serta menjadi platform buat dirinya untuk memberi tumpuan dalam bidang perniagaan tersebut.

Empayar perniagaannya dibina kukuh dengan sokongan daripada pengedar di seluruh negara selain mencipta testimoni positif dalam kalangan pe­langgannya yang mendapat manfaat daripada produk tersebut.

Kepuasan diri bersandarkan kejayaan pemasaran syarikat yang berkesan telah memberi peluang kepada Nadia untuk membuat kajian dan pembangunan lebih mendalam menghasilkan produk pembakar lemak yang berkualiti.

Lebih menarik, sehingga kini beliau masih ‘menggali’ ilmu manfaat untuk memperkenalkan barangan baharu pada masa depan.

Jatuh bangun beliau dalam bidang perniagaan sejak empat tahun lalu membuatkan dirinya makin matang menghadapi segala cabaran yang mendatang termasuk isu berkaitan produk tiruan yang membanjiri pasaran.

Syarikat juga pernah mencatat kerugian lebih 50 peratus ekoran daripada produk asal ditiru dan ia telah menjejaskan sistem jualan serta memberi impak negatif kepada imej syarikat.

“Masalah menjadi guru terbaik kepada saya malah ia memberi motivasi kepada saya untuk terus cekal hadapi segala kemelut yang dihadapi hinggalah kini, saya masih setia untuk memperkenalkan produk pembakar lemak kerana permintaan terhadapnya masih tinggi,” jelasnya.

Nadia menerangkan, selain sokongan daripada ahli keluarga, komitmen daripada para pengedarnya menjadi resipi terbaik buat dirinya untuk terus menerajui empayar perniagaannya.

Kejayaan pengedar yang berjaya mengubah taraf hidup masing-masing ekoran penjanaan pendapatan yang baik setiap bulan manakala pelanggannya yang dulu mengalami masalah berat badan dan kini mampu bergaya cantik selain memiliki tubuh badan kurus serta sihat juga merupakan satu kepuasan pada diri usahawan ini.

Menurutnya, keberkesanan produk bergantung kepada formulasi dan inovasi yang dihasilkan.

Nadia memastikan produk yang dihasilkan bertindak secara semula jadi dan tidak memberi kesan sampingan kepada tahap kesihatan pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Inovasi tersebut telah direalisasikan dalam produk terbaharu yang diperkenalkan di pasaran pada awal tahun ini iaitu Ultimate 7.

Produk berkenaan dihasilkan daripada ekstrak african manggo serta bahan aktif lain antaranya ialah oligo fiber, acai berry,­ garcinia cambogia, guarana,­ green bean coffee dan cinnamon.

“Sehingga kini, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan syarikat me­ngunjurkan untuk menjual Ultimate 7 sebanyak 5,000 unit dan ia bakal bertambah kepada 10,000 unit menjelang akhir tahun ini,” jelasnya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, Nadia optimis terhadap produk baharunya itu mampu menembusi pasaran di negara jiran setelah berjaya menguasai pasaran domestik dengan mengukuhkan jenamanya pada tahun ini.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan produk dan menjadi pengedar, boleh menghubungi di talian 017-554 7579.