Perocom Auto merupakan pengedar sah Perodua yang tunggal di negara republik berkenaan sejak 1997 dan telah menjual model Kancil, Kembara, Kelisa, Myvi generasi pertama iaitu Viva, Axia dan Bezza di sana.

Perodua Myvi generasi ke-3 yang mula-mula dilancarkan di negara ini pada November 2017 turut memasuki Indonesia, namun model tersebut menggunakan jenama Daihatsu di sana dan dinamakan sebagai Sirion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Zai­nal Abidin Ahmad berkata, kemasukan model terbaharu Myvi di Singapura adalah penting bagi jenama Perodua, meskipun pihaknya perlu berdepan pelbagai halangan untuk memasuki pasaran sana yang disifatkannya sebagai ‘matang’.

“Ia juga menandakan destinasi eksport pertama bagi model ini di bawah jenama Perodua,” katanya menerusi siaran akhbar yang dikeluarkan di sini semalam.

Meskipun kecil, pasaran automotif Singapura adalah antara yang paling dikawal selia di rantau ini.

Bilangan kenderaan baharu yang didaftarkan di Singapura agak tidak menentu dari tahun ke tahun, dengan 80,281 unit kenderaan baharu didaftarkan tahun lalu, berbanding 91,922 unit pada 2017, 87,504 unit pada 2016 dan 57,589 pada 2015 berdasarkan statistik Lembaga Pengangkutan Darat di sana.

Myvi generasi ke-3 ditawarkan di Singapura pada harga SGD64,800 (RM197,093) untuk varian 1.3X AT dan SGD69,800 (RM212,301) bagi varian 1.5H AT, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan serta sijil kelayakan (COE).

Sementara itu, Pengarah Urusan Perocom Auto, John Ng berkata, Perodua Myvi telah mendapat sambutan sangat baik dalam kalangan rakyat Malaysia, sementara di Si­ngapura, terdapat sekumpulan peminat setia yang menantikan ketibaan model generasi ke-3 itu.

Setakat ini, lebih 110,000 unit Perodua Myvi generasi ke-3 telah menemui pemiliknya di Malaysia.