Pengerusinya, Ganesh Kumar Bangah berkata, acara jualan online besar-besaran peringkat kebangsaan itu mempunyai potensi besar untuk diperluaskan.

“Pada masa ini, kami sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa persatuan komputer dan teknologi maklumat di negara-negara serantau untuk tujuan kerjasama bagi penganjuran acara itu pada masa akan datang.

“Langkah itu dapat membantu mempromosikan jenama-jenama tempatan ke peringkat global sekali gus memacu pertumbuhan sektor perdagangan elektronik (e-Dagang) di negara ini,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis pelancaran #Mycybersale 2018 di sini semalam.

Sementara itu, Ganesh Kumar berkata, setakat ini, acara yang bakal berlangsung pada 3 hingga 7 September 2018 itu telah berjaya melepasi beberapa sasaran yang telah ditetapkan.

“Dari segi bilangan pe­dagang yang mengambil bahagian, ia telah mencapai sejumlah 1,215, berban­ding 1,200 yang disasarkan sebelum ini, manakala bilangan pengeksport telah melepasi sasaran 600 dengan 610 pengeksport dicatatkan setakat ini,” ujarnya.

Dianjurkan oleh Pikom dengan sokongan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, #Mycybersale 2018 disertai oleh lebih 1,200 pedagang dengan sokongan lebih 100 jenama runcit dan korporat.

Ia diunjur menjana nilai dagangan kasar (GMV) sebanyak RM370 juta berbanding RM311 juta yang dicatatkan pada 2017.

Ia juga disasarkan mencapai perolehan eksport bernilai RM50 juta berbanding RM39 juta pada tahun lepas.