Berniaga adalah salah satu sumber ekonomi yang menjadi pilihan, sama ada mereka terlibat dalam menjual produk penjagaan kesihatan atau kecantikan secara online atau berniaga kuih-muih dan makanan.

Begitu juga dengan Mufidah Jamil, 33, dia tidak betah hanya duduk di rumah melihat suaminya, Wan Aziz A. Samad, 36, be­kerja siang dan malam mencari rezeki sehingga timbul idea untuk menjual kek yang dihasilkan dari rumah.

“Meskipun hanya bersandarkan kepada hobi memasak, saya mengambil keputusan menghasilkan aneka kek basah yang disalut keju sebelum meletakkannya di beberapa buah kedai runcit berdekatan rumah di Sungai Rambai sekitar tahun 2015.

“Namun bukan semuanya mudah terjual dan ada dugaannya, pernah kami kerugian akibat kek rosak. Bagaimanapun, sikap tidak berputus asa membuatkan kami mencari jalan untuk menjualnya sendiri.

“Suami pernah keluar membonceng motosikal bersama anak sulung menjual kek yang dihasilkan dari rumah ke rumah dan mendapat hasil yang baik. Bermula saat itu, kami mula percaya usaha ini akan membuahkan kejayaan,” katanya ketika ditemui di Sungai Rambai, Mela­ka baru-baru ini.

Yakin telah menemui formula terbaik untuk memasarkan kek buatannya iaitu dengan keluar mencari pelanggan, bukan mengharapkan pelanggan datang untuk membeli, Mufidah dan suaminya mula mengintai beberapa lokasi strategik di sekitar Melaka dan Muar seperti kawasan tumpuan pelancong, medan ikan bakar dan restoran.

Mungkin disebabkan rasanya yang memikat, harga yang tepat ataupun kebanyakan restoran memang kurang menyediakan juadah pemanis mulut, produk kek Mufidah mendapat sambutan hangat.

Melihat potensi berniaga lebih baik daripada makan gaji, Wan Aziz membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai pengurus restoran makanan segera pada 2017 untuk bersama-sama membina perniagaan yang namanya didedikasikan kepada puteri sulung mereka, Aisyah Sofeeya Cake & Cookies.

Dengan operasi pengeluaran yang semakin meningkat dari tahun ke tahun, Mufidah akhirnya mengambil keputusan untuk menyewa sebuah premis di kawasan Hentian Rehat & Rawat Sg. Rambai arah selatan pada tahun lalu.

“Kini, kami mampu menjual antara 100 hingga 150 bekas kek, yang berharga RM5 dengan berat 100 gram setiap hari.

“Antara yang menjadi pilihan pengguna ialah Chocolate Moist dan Red Velvet Cheese. Pada hari minggu, jualan meningkat sekali ganda kepada 300 bekas sehari.

“Selain suami yang membantu membuat kek dan keluar berniaga bermula pukul 6.30 petang sehingga 12 tengah malam setiap hari, kami turut mengambil lima pekerja sambilan untuk turut sama menjual kek. “Meskipun produk semakin dikenali, kami tetap memilih untuk berniaga di jalanan kerana produk ini mudah rosak,” katanya.

Menurut Mufidah, meskipun ada yang berpendapat caranya kelihatan sedikit kolot dan tidak cekap, kami percaya platform berniaga di jalanan mendekatkan lagi perniagaan dengan pe­langgan selain boleh dijadikan platform latihan untuk berniaga dengan kos murah tanpa menanggung kos yang tinggi.

“Untuk memulakan perniagaan tidak perlukan modal ribuan atau puluhan ribu ringgit, kami hanya bermula dengan modal RM50 dan daripada keuntungan jualan yang sedikit kami berjimat cermat untuk dijadikan modal pusingan,” katanya.

Mereka yang berminat mencuba kek Mufidah boleh berhubung dengannya di laman Facebook Mufidah Jamil.