Pengerusinya, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata, pihaknya masih lagi merangka strategi sama ada untuk menjadi pengeluar gula dalam pasaran asing atau menyediakan khidmat kepada pasaran terbabit dari Malaysia.

“Kami dapati permintaan gula dari negara Afrika semakin meningkat manakala China, yang sebelum ini mempunyai pasaran tersendiri dalam memenuhi permintaan tempatan, kini menjadi pengimport bersih gula,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena Mesyuarat Agung Tahunan ke-7 MSM di Menara Felda dekat sini semalam.

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MSM, Mohd. Shaffie Said dan Pengarah Eksekutif syarikat, Datuk Khairil Anuar Aziz.

Azhar menjelaskan, syarikat kini mengkaji pilihan perniagaan agar tidak menekankan kewangan MSM dan usaha pengembangan perniagaan itu berdaya maju.

“Sehubungan itu, kita perlu mengkaji pasaran untuk mewujudkan peluang dan meningkatkan nilai kerana syarikat ini tidak boleh hanya beroperasi sebagai pemain pasaran domestik,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan, perluasan perniagaan ke seberang laut juga untuk memanfaatkan keupayaan pengeluaran terbaharu MSM apabila kilang penapisan gula yang melibatkan pelaburan bernilai RM1.1 bilion di Tanjung Langsat, Johor beroperasi pada bulan hadapan.