RAM Rating Services Bhd berkata, harga MSM susut kepada kira-kira RM2,100 satu tan metrik kebelakangan ini dalam keadaan permintaan yang lembap, peningkatan pengeluaran dan kebimbangan akan berlakunya perang perdagangan antara­ Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Peningkatan duti import India ke atas mi­nyak kacang soya (pesaing­ MSM) pada Jun 2018 juga dijangka memulihkan aliran menurun eksport minyak sawit bagi Malaysia dan Indonesia,” katanya dalam kenya­taan yang dikeluarkan di sini semalam.

Menurutnya, pengelua­ran MSM Malaysia telah menyusut pada bulan Mei dan Jun.

Secara keseluruhannya, pengeluaran tempatan naik dua peratus kepada 8.92 juta tan metrik pada separuh pertama tahun ini dan kemajuan sederhana ini dijangka berterusan bagi tempoh berbaki tahun ini.

Selain itu, Indonesia mengekalkan aliran pertumbuhan kukuhnya de­ngan pengeluaran mening­kat 24 peratus, tahun ke tahun, kepada 18.37 juta tan metrik yang dicatatkan dalam lima bulan pertama 2018.

Dari segi permintaan, prestasi eksport Malaysia turun pada Mei dan Jun, terjejas disebabkan kenaikan mendadak duti import India ke atas produk sawit (berkuat kuasa 1 Mac 2018) dan cukai eksport ke atas MSM yang dikenakan semula pada Mei.

Pada akhir Jun 2018, inventori minyak sawit naik 43 peratus kepada 2.19 juta tan metrik iaitu perbezaan besar berbanding setahun lalu berikutan fenomena cuaca El Nino.

Menurut agensi penarafan itu, Jabatan Pertanian AS menjangkakan bekalan minyak sayuran global meningkat lima peratus pada 2017/2018, dan tiga peratus pada 2018/2019. – Bernama