Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Nor (gambar kecil) berkata, sehubungan itu, pihaknya berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk membabitkan diri dalam fasa terakhir pembinaan infra rakyat di bawah Projek Transit Aliran Massa Lembah Klang (KVMRT) tersebut.

“Perkhidmatan MRT merupakan pengubah landskap pengangkutan awam negara dan memberi manfaat besar kepada pengguna, khususnya penduduk di Lembah Klang.

“Lantaran itu, kami amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk melibatkan diri dalam projek MRT1 dan MRT2.

“Usaha itu telah menghasilkan ribuan jurutera, ahli teknikal, operator, kontraktor dan vendor yang mampu dalam membangunkan, membina dan mengendalikan projek mega tersebut.

“Malah, ia bukan sahaja memanfaatkan MMC menerusi syarikat usaha sama MMC-Gamuda (MMC-Gamuda KVMRT (T) Sdn. Bhd.), tetapi projek itu turut memberi peluang kepada segenap kontraktor tempatan untuk membuktikan dan meningkatkan kemampuan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sesi Jaringan Kerja Minum Petang Kumpulan MMC bersama media di sini baru-baru ini.

Che Khalib mengulas mengenai penawaran tender MRT3 yang dibuka Mass Rapid Transit Corp Sdn. Bhd. (MRT Corp) sehingga 29 Disember ini yang memperlihatkan struktur baharu dalam pelaksanaan projek berkenaan dengan menggunakan kontrak siap guna.

Dibuka kepada firma asing dan tempatan, menerusi model tersebut, syarikat infrastruktur Malaysia boleh membida dengan membentuk konsortium atau syarikat usaha sama dengan penggiat luar negara terutama­nya dalam kerja-kerja komponen.