Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Raymond Cheah berkata, pelancaran HOC pada awal tahun ini telah memberikan impak positif terhadap jualan hartanah dan pihaknya telah menandatangani sebanyak 95 perjanjian jual beli (SPA) bagi projek PR1MA dan menerima 300 tempahan setakat ini berbanding hanya empat SPA pada 2018.

“Lanjutan HOC banyak membantu pasaran dan pihak bank juga dilihat tidak lagi mengenakan syarat pinjaman yang terlalu ketat kepada pembeli.

“Pada masa sama, kami akan melakukan beberapa pelancaran baharu tahun ini terma­suk pembangunan bercampur PJ Sentral pada suku keempat.

“Kami optimis pasaran hartanah akan kembali pulih pada separuh kedua 2019,” katanya pada sidang akhbar Majlis Pe­ngenalan Penyewa Utama Vivo Signature Retail di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Campus Rangers, Jason Ho, Pengarah Urusan SKM Market, Andy Cham Wing Kian dan Ketua Pegawai Eksekutif SubHome, Sandeep Singh Grewal.

Tambah Cheah, MRCB Land ketika ini mempunyai bank ta­nah seluas 114.12 hektar dengan nilai pembangunan kasar RM31 bilion.

“Kami akan menambah bank tanah sedia ada dengan menilai kawasan yang berpotensi untuk pertumbuhan kerana sekarang adalah masa terbaik membeli tanah dan menjalin kerjasama untuk pembangunan,” katanya.

Dalam pada itu, Cheah berkata, pihaknya yakin kemasukan tiga penyewa utama iaitu Campus Rangers, SKM Market dan SubHome akan menarik lebih banyak peruncit membuka premis di Vivo Signature Retail.

Katanya, pembukaan Vivo Signature Retail merupakan sebahagian daripada fasa pertama dalam projek 9 Seputeh yang merangkumi pembinaan empat menara bagi unit kediaman, pejabat kecil rumah pejabat (SOHO) dan unit runcit yang akan beroperasi sepenuhnya pada suku pertama tahun depan.

“Vivo Signature Retail menawarkan ruang sewaan yang selesa dengan rekaan terkini seluas 20,252 meter persegi bagi kemudahan penduduk serta individu yang bekerja di sekitar 9 Seputeh,” katanya.