Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Roslan Roskan berkata, unjuran pertambahan nilai tersebut bakal dicapai ekoran cadangan syarikat untuk memperkenalkan dua model motosikal baharu pada bulan depan dengan salah satu­nya terdiri daripada street bike.

Model street bike merupakan motosikal yang memiliki kapasiti enjin yang lebih tinggi iaitu pada 150cc ke atas dengan saiz badan yang lebih besar serta menyokong penggunaan klac tangan.

“Segmen street bike di Malaysia semakin berkembang dan semakin ramai yang berpindah daripada menggunakan kapcai kepada motosikal jenis ini yang lebih berkuasa terutamanya model Pulsar dan Dominar yang menawarkan harga mampu milik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian premis sulung Modenas Po­wer Store di Sunsuria Avenue, Kota Damansara di sini semalam.

Turut hadir Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan DRB HICOM, Mahmood Abd. Razak dan Naib Presiden Perniagaan Antarabangsa Bajaj Auto Limited, Sameer Deshpande.

Roslan menjelaskan, Mo­denas Power Store merupakan pusat sehenti jualan dan perkhidmatan selepas jualan yang dikhususkan untuk mo­del street bike Modenas yang terdiri daripada model Modenas Pulsar RS200, Pulsar NS200, Dominar D400 dan V15.

Pihaknya bercadang untuk membuka dua lagi premis Modenas Power Store di Pulau Pinang dan Johor Bahru selepas setahun.