Prestasi itu memperlihatkan kenaikan enam peratus untuk bulan Januari hingga Oktober 2017, dengan jumlah keseluruhan jualan sebanyak 61,380 unit berban­ding 57,734 unit dalam tempoh sama tahun lepas.

Naib Presiden Jualan & Pemasaran Proton, Abdul Rashid Musa berkata, model Saga dan Persona terus menguasai trend jualan apabila kedua-duanya menyumbangkan 70 peratus kepada keseluruhan jualan kereta Proton, dengan masing-masing terjual sebanyak 26,343 dan 16,833 unit.

“Dengan harga serendah RM35,590.29 hingga RM44,342.25, Saga baharu terus kekal sebagai model pilihan utama dalam kala­ngan pemilik Proton.

“Persona pula telah memperlihatkan kenaikan 57.5 peratus bagi tempoh tahun sehingga kini (YTD), dengan jumlah jualan sebanyak 16,833 unit berbanding 10,687 unit pada tempoh yang sama tahun lepas.

“Perubahan ke atas Persona generasi baharu ini telah menarik perhatian para peminat Proton kerana kereta itu bukan sahaja mempunyai reka bentuk baharu, malahan ruang but sebesar 510 liter, menjadikannya pilihan dalam kalangan pelbagai jenis pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rashid menjelaskan, kereta Proton turut menjadi pilihan utama dalam kalangan pemandu lumba kereta disebabkan ciri-ciri pemanduan dan pengendaliannya yang sa­ngat baik.

“Kereta Proton juga merupakan sebuah jenama yang tahan lasak dan boleh dipercayai kerana mampu melalui keadaan melampau di perlumbaan yang memerlukan ketahanan selama sembilan jam,” ujarnya.

Selain itu, Abdul Rashid turut menyarankan para pelanggan untuk merebut peluang bagi promosi 5 Nilai Hebat Proton yang sedang berlangsung kini dengan kos penyelenggaraan sebanyak RM0 sehingga lima tahun serta penjimatan sehingga RM8,000 untuk sebuah kereta Proton. 

“Penyelenggaraan RM0 termasuk alat ganti, minyak enjin dan caj pekerja agar pelanggan tidak mempunyai kesulitan untuk menyelenggara kereta mereka,” katanya. - K! ONLINE