Pengasas syarikat, K.L.Lim berkata, buat masa ini, syarikat yang menawarkan aplikasi bantuan kecemasan MMSOS yang telah diperkenalkan pada bulan April lalu telah memiliki seba­nyak 1,000 orang.

Menurutnya, jumlah sasaran itu mampu dicapai ekoran kesedaran masyarakat yang semakin meningkat tentang aplikasi tersebut yang kini sema­kin aktif dipromosikan di seluruh negara.

“Perkhidmatan ini akan memberi banyak kemudahan kepada orang ramai untuk mendapatkan bantuan jika mereka terlibat dalam sebarang kecemasan.

“Melalui aplikasi MMSOS, pelanggan kini tidak perlu menghubungi talian kecemasan 999 kerana perkhidmatan yang disediakan syarikat dapat membantu mereka dengan mudah, cepat dan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan terbaharu MMSOS di pejabat syarikat di Seri Kuching Business Park, Jalan Kuching di sini baru-baru ini.

Lim menerangkan, MMSOS menyediakan dua perkhidmatan kepada orang ramai sama ada melanggan aplikasi percuma manakala perkhidmatan berbayar pula dikenakan bayaran sebanyak RM365 seorang.

“Untuk perkhidmatan percuma, orang ramai boleh memuat turun aplikasi MMSOS di dalam telefon pintar dan melaluinya, tertera menu yang menampilkan 12 butang kecemasan bagi membolehkan orang ramai yang menghadapi masalah menekan mana-mana butang bersesuaian dengan kes yang dihadapi.

“Pusat panggilan kami akan menerima isyarat kecemasan tersebut dan kakitangan pusat tersebut akan membantu mereka sama ada untuk mendapatkan maklumat lebih tepat berhubung jarak hospital berdekatan, balai polis dan khidmat menunda,’” jelasnya.

Bagi keahlian berbayar pula, pelanggan akan mendapat manfaat daripada segi potongan harga sehingga 40 peratus dan percuma untuk pelbagai perkhid­matan.

Antaranya ialah pakej penginapan di Marina Island, Perak, pemeriksaan kesihatan dan perlindungan insurans peribadi serta kemalangan, yuran ambulan, kadar menarik untuk perkhidmatan penyelenggaraan kereta serta yuran penundaan.

“Kesemua manfaat yang diperoleh pelanggan yang melanggan aplikasi berbayar ini bernilai lebih daripada RM5,000,” jelasnya sambil menambah bayaran yuran tersebut perlu diperbaharui setiap tahun,” ujar beliau.