Saham syarikat yang berpangkalan di Perak itu bakal disenaraikan pada Ogos depan dengan sasaran untuk menjana RM5 juta menerusi terbitan 50 juta saham baharu pada harga 10 sen sesaham.

Ketua Kewangan Korporat, Dr. Jeffrey Chin Fook Kheong berkata, sebanyak 40 peratus atau RM2 juta daripada hasil tersebut akan digunakan sebagai perbelanjaan modal, manakala RM2 juta lagi untuk modal kerja dan baki RM1 juta bagi perbelanjaan berkaitan penyenaraian.

Jelas Fook Kheong, selain pembelian mesin baharu, pe­ningkatan pengeluaran akan dapat dicapai dengan penambahan ruang lantai menerusi naik taraf kilang sedia ada dan pembinaan kilang baharu.

Katanya, kapasiti pengeluarannya kini adalah kira-kira 73 peratus, sedangkan ruang lantai pengeluaran telah digunakan sepenuhnya.

“Kami merancang memba­ngunkan kilang baharu berkelua­san 2,508 meter persegi yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan untuk bahagian kejuruteraan ketepatan bagi pe­langgan semikonduktor.

“Ia akan menjadikan keluasan lantai keseluruhan kilang kami sebanyak 6,131 meter persegi menjelang akhir 2020,” katanya ketika majlis pelancaran Memorandum Maklumat MMIS di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengarah Eksekutif MMIS, Loh Chin Siang dan Pengarah Urusan MMIS, Loh Chin Soon.

Bagi tahun kewangan ber­akhir 30 Jun 2018, MMIS mencatatkan pendapatan RM17.02 juta, iaitu kenaikan sebanyak 82 peratus berbanding RM9.34 juta pada tahun kewangan sebelumnya manakala keuntungan sebelum cukai pada tahun kewangan 2018 meningkat kepada RM5.27 juta, 207 peratus lebih tinggi berbanding RM1.71 juta yang dicatat pada tahun sebe­lumnya.

Mengulas mengenai prospek industri, Fook Kheong berkata, nilai industri peralatan kejuruteraan di negara ini telah mencatatkan pertumbuhan kepada RM7.1 bilion tahun lalu berbanding RM4 bilion pada 2010, dengan kadar pertumbuhan tahunan 7.4 peratus.

“Pertumbuhan industri kejuruteraan di Malaysia akan disokong permintaan peralatan kejuruteraan daripada sektor perkilangan dan pengeluaran produk elektronik untuk pasaran global,” ujarnya.