Timbalan Menteri MITI, Dr. Ong Kian Ming berkata, ia berdasarkan petunjuk prestasi ekonomi negara yang dikeluarkan sebelum ini.

Antara faktornya ialah indeks pengeluaran industri (IPI) yang mencatatkan pertumbuhan 3.1 peratus untuk 2018.

Jelas beliau, nilai IPI menunjukkan sektor pembuatan terus bertumbuh pada kadar yang sihat manakala sektor perlombongan menunjukkan pemulihan malah pihak bank seperti Standard Chartered turut optimis terhadap pertumbuhan KDNK negara.

“Saya percaya dalam suasana mencabar dengan perang dagangan antara Amerika Syarikat dan China, sektor pembuatan akan terus menjadi enjin pertumbuhan ekonomi.

“MITI dan agensi di bawahnya seperti Malaysia Industrial Development Finance Bhd. (MIDF) komited untuk bekerjasama dengan sektor pembuatan bagi meningkatkan produktiviti dan pengeluaran, terutamanya menerusi dasar Revolusi Perindustrian 4.0 yang akan dilancarkan tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena sesi ceramah makan tengah hari dan sambutan Tahun Baru Cina MIDF di Menara MIDF di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani dan pengasas Acquro Sdn. Bhd. yang juga merupakan bekas Ketua Arkitek Yahoo!, Dr. Ariffin Yahaya selaku penceramah jemputan.

Sementara itu, Ariffin dalam sesi soal jawab bersama hadirin berkata, dalam menjaga kebajikan pekerja, majikan perlu membina hubungan baik dan kepercayaaan antara pihak pengurusan dan kakitangan bawahan.

“Bercakap tentang Silicon Valley, ramai mengatakan kebajikan pekerja dijaga kerana diberi makanan percuma, kemudahan gimnasium, malah khidmat mengurut namun bagi saya ia lebih kepada soal kepercayaan.

“Sekiranya sesuatu perkara buruk berlaku ketika bekerja, pekerja perlu tahu mereka boleh bergantung kepada pihak atasan untuk sokongan dan perlindu­ngan,” katanya.