Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said berkata, penganjuran program tersebut bukan sahaja mengiktiraf perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang telah banyak menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah sebagai inisiatif untuk memperkukuhkan lagi industri tersebut.

“Berdasarkan perangkaan terkini, terdapat 907,065 PKS yang merangkumi 98.5 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan di negara ini. Mereka mencatatkan kadar pertumbuhan purata sebanyak 7.3 peratus setahun, mengatasi pertumbuhan enam peratus yang disasarkan dalam Pelan Induk PKS.

“Pada tahun 2017, sektor PKS menyumbang sebanyak 37.1 pe­ratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar, 66 peratus guna tenaga dan 17.3 peratus daripada eksport negara,” katanya pada taklimat media mengenai Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 di sini semalam.

Bertemakan Mula Berdikit - Azam Melangit, majlis pelancaran Minggu Keusahawanan dan PKS di setiap wilayah seluruh negara akan disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof bersama-sama menteri besar atau ketua menteri negeri-negeri yang terlibat.

Program tersebut bakal me­nyaksikan pembabitan semua pihak yang terlibat dalam pembangunan PKS termasuk agensi kementerian dan kerajaan ne­geri, institusi kewangan, badan korporat serta institusi pengajian tinggi.

Lebih 130 aktiviti berkaitan PKS dan keusahawanan dianjurkan sepanjang tempoh tersebut dan kesemuanya terbuka kepada usahawan serta orang ramai secara percuma dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Menurut Noor Azmi, pihaknya menyasarkan jualan sebanyak RM5 juta dengan potensi jualan dalam suai padan perniagaan sebanyak RM25 juta sepanjang program tersebut berlangsung.

“Dalam merangka program ini, SME Corp melihat kepada keperluan dan senario sebenar dunia keusahawanan semasa dengan menumpukan kepada penyebaran maklumat mengenai bantuan dan khidmat nasihat serta aktiviti promosi pada skala yang lebih besar,” ujarnya.

Minggu Keusahawanan dan PKS 2019 bermula di Sibu, Sarawak pada 12 hingga 14 Julai lalu dan akan menemui rakyat di utara tanah air di Taman Jubli Emas, Alor Setar, Kedah dari 24 hingga 28 Julai ini.