Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, jualan yang dica­tatkan adalah lebih sekali ganda berbanding sasaran asal yang ditetapkan kementerian iaitu sebanyak RM50 juta.

“Ketika kami merancang untuk menganjurkan acara ini kami hanya menjangkakan seramai 10,000 orang pengunjung dan jualan melebihi RM50 juta, ia sangat mengejutkan apabila kami berjaya menjana jualan hampir tiga kali melebihi sasaran awal.

“Ia petunjuk bahawa ramai menyedari betapa besarnya pasaran ini. Saya boleh katakan ini merupakan kejayaan terbaik dan kami sedang membuat perancangan serta memberikan idea kepada kerajaan untuk memperluaskan apa yang telah dilakukan,” katanya pada sidang akbar sempena majlis penutup MHE 2019 di sini kelmarin.

Menurut Mohd. Redzuan, pihaknya berhasrat meneruskan acara tersebut tahun depan selain menyertai World Expo 2025 di Osaka, Jepun.

“Kami juga berharap untuk pergi ke zon timur Eropah atau zon barat Rusia bagi meneroka pasaran di sana sekiranya mendapat kelulusan,” katanya.

MHE 2019 turut me­nyaksikan satu memorandum perjanjian (MoA) dimuktamadkan antara sebuah syarikat Jepun, Nanyang Trading dengan dua perusahaan kecil dan sederhana Malaysia, Nuha Food Sdn. Bhd. dan Kit Hin Company Sdn. Bhd. untuk membekalkan produk halal di pasaran Jepun dalam perjanjian jangka masa panjang.

Acara tersebut mencatatkan kehadiran 10,184 pengunjung termasuk usahawan dan menyediakan peluang unik kepada perusahaan tempatan menghidupkan semula po­tensi perniagaan selain membuktikan keupayaan mereka dalam menyaingi permintaan daripada pa­saran halal tempatan, serantau dan global.