Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof (gambar) berkata, perbincangan berkenaan termasuk menganjurkan pelbagai program, aktiviti atau bengkel serta bantuan yang bersesuaian dengan keperluan semasa.

“Usaha ini bertujuan merasionalisasi dan memperhalusi program keusahawanan anak muda sedia ada serta me­rangka cadangan program dan inisiatif baharu untuk Belanjawan 2019.

“Namun, semua program atau inisiatif ini bergantung pada pembentangan yang dijadualkan pada awal November depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Memperkasa Usahawan Bumiputera di sini semalam.

Pada majlis itu, Mohd. Redzuan turut meluangkan kira-kira dua jam berdialog dengan lebih 800 orang usahawan.

Sementara itu, Mohd. Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah me­negaskan, tiada pengurangan peruntukan dalam Belanjawan 2019 bagi golo­ngan usahawan bumiputera di negara ini.

Sebaliknya, ujar beliau, peruntukan berkenaan akan disalurkan kepada golongan sasar.

“Tiada pun pengurangan. Cuma di­sebut kita akan memberi lebih tumpuan pada golongan sasar, melibatkan kriteria tertentu.

“Mungkin sebelum ini apa yang saya katakan (sebelum ini) kurang difahami atau tidak jelas,” katanya.

Pada 13 September lalu, beliau dilaporkan sebagai berkata, kementeriannya membayangkan kemungkinan geran kewangan kepada usahawan di negara ini akan dikurangkan dalam Belanjawan 2019 bagi memastikan usahawan tidak menyalahgunakan peruntukan untuk tujuan selain perniagaan.

Terdahulu, beliau mengumumkan pelancaran Mini Pusat Sehenti Keusahawanan (PSK) yang akan beroperasi di pejabat Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. di Ayer Keroh dekat sini.

Mini PSK keenam yang diwujudkan di Melaka itu bertujuan sebagai pusat rujukan setempat yang berperanan sebagai pusat penyampaian data, mengumpul maklum balas serta memberi khidmat nasihat kepada usahawan di negeri ini.