Katanya, tujuh sektor pelaburan oleh syarikat asing dan tempatan itu meliputi perubatan, makanan, elektronik, petroleum, pengangkutan, pembuatan logam dan mineral bukan metalik.

“Jumlah pelaburan ini jauh lebih rendah daripada sasaran kerajaan negeri iaitu RM5 bilion setahun disebabkan beberapa faktor, termasuk perubahan senario politik negara dan pertukaran pentadbiran kerajaan negeri yang kini dipimpin kerajaan Pakatan Harapan.

“Kami mengambil alih pentadbiran Melaka pada Mei lepas dan sebahagian pelaburan sedia ada masih dalam perbincangan serta belum dapat dimuktamad­kan dalam tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas me­rasmikan Program Temu Duga Pekerja Tempatan Syarikat Xinyi Energy Smart (M) Sdn. Bhd. (Xinyi) dengan kerjasama Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) di sini semalam.

Turut hadir Pengarah Urusan Xinyi, Datuk Liu Xiao Rong dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Paeza Rosdi.

Mengulas lanjut, Adly berkata, kerajaan negeri telah me­laksanakan pelbagai usaha dan inisiatif secara proaktif untuk menarik pelaburan ke negeri itu menerusi pertemuan pelaburan dengan syarikat asing dan tempatan.

Jelasnya, kerajaan negeri bersedia mempertimbang permintaan pelabur yang mahu melabur di negeri itu selagi ia tidak memberi kesan negatif kepada rakyat atau ekonomi ne­geri serta memastikan pelaburan yang dilakukan dapat menyediakan peluang pekerjaan khusus­nya kepada rakyat tempatan.

“Sebagai contoh, kami menyokong dan membantu usaha Xinyi untuk mempunyai pelabuhan sendiri di negeri ini agar proses import dan eksport syarikat mereka dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Pelabuhan berkenaan dijang­ka dapat membantu Xinyi me­ningkatkan pelaburan di Me­laka sekali gus memberi impak positif kepada ekonomi negeri,” katanya.

Setakat ini, Xinyi telah menyediakan 1,200 peluang pekerjaan menerusi operasi kilangnya di Elkay Industrial Park Lipat Kajang di sini sejak 2015 melibatkan pelaburan berjumlah RM2.7 bilion.

Syarikat tersebut mengeluarkan 3,200 tan float glass dan 1.99 tan solar glass sehari.

Sebanyak 35 peratus daripada peluang pekerjaan tersebut diisi pekerja tempatan, 45 peratus pekerja asing dan 20 peratus pekerja bantuan teknikal jangka masa pendek. – Bernama