Ketua Eksekutifnya, Prof. Emeritus Dr. Ismawi Zen berkata, pembukaan rangkaian baharu tersebut akan dilaksanakan melalui kaedah kerjasama dengan rakan kongsi di negeri-negeri berkenan.

Menurut beliau, perbincangan sedang dijalankan dan pihaknya berharap usaha sama tersebut dapat dimuktamadkan tidak lama lagi.

“Mediu kini telah menjadi pilihan buat para pelajar yang ingin menyambung pengajian mereka untuk peringkat diploma, sarjana muda dan praijazah kerana antara kelebihan universiti ini ialah yuran pembelajaran adalah rendah berbanding institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) lain.

“Lebih menarik, universiti ini juga berjaya dalam program persediaan bahasa Arab yang mana ia ditawarkan secara percuma kepada mereka yang berminat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi ramah mesra dan sidang akhbar mengenai perkembangan terbaharu Mediu di kampus utamanya di Desa Petaling di sini baru-baru ini.

Ismawi menjelaskan, sehingga kini Mediu yang memiliki pelajar dari 100 buah negara di seluruh dunia itu telah menjadi wadah baharu bagi menawarkan pengajian melalui pembelajaran secara konvensional (dalam kampus) dan juga secara maya (online) dalam pelbagai bidang pengajian.

Universiti tersebut menawarkan pengajian dari enam fakulti iaitu pengajian Islam, bahasa, kewangan dan pengurusan perniagaan, teknologi maklumat, pendidikan, kejuruteraan serta pusat persediaan bahasa.

Selain itu, Ismawi memaklumkan bahawa kampus utama yang baharu diduduki sejak bulan Oktober tahun lalu kini telah bersedia me­nerima lebih ramai penyertaan pelajar baharu.

Sehubungan itu, pihaknya telah menawarkan kira-kira 1,500 tempat kepada pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia untuk memohon.

“Calon-calon peperiksaan utama itu digalakkan untuk mendaftar awal dengan mengemukakan slip keputusan percubaan terlebih dahulu.

“Ini merupakan pendekatan pertama kami laksanakan, namun kelulusan pe­nempatan mereka di universiti ini masih tertakluk kepada keputusan peperiksaan masing-masing,” jelasnya.