Medicare merupakan sebuah agensi takaful yang menawarkan perlindungan takaful keluarga secara komprehensif menerusi pengendali utama dengan memberi tumpuan kepada golongan penjawat awam negara.

Pengarah Urusannya, K. Palanisamy berkata, sasaran berkenaan yakin dicapai bersandarkan kepada pelaksanaan pelan strategik yang dirancang menerusi kerjasama erat dengan agensi kerajaan termasuk pelantikan 1,000 wakil pemasaran pada tahun hadapan.

“Ketika ini, kami memiliki hanya 200 wakil pemasaran di seluruh negara.

“Jumlah tersebut dilihat tidak dapat menampung kapasiti permintaan yang tinggi terhadap produk ditawarkan syarikat.

“Kami juga menyediakan latihan yang bersesuaian kepada mereka dalam membantu memahami secara keseluruhan berkaitan produk sekali gus menarik pelanggan baharu untuk mencarum,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Kosmo! ketika ditemui di pejabat Medicare di Persiaran Raja Muda Musa di sini baru-baru ini.

CUEPACSCare merupakan program kerjasama dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi memastikan setiap penjawat awam memperoleh perlindungan takaful pada waktu kecemasan untuk diri dan keluarga.

Menurut Palanisamy, produk dengan kerjasama CUEPACS itu diperkenalkan pada tahun 1999, ia ditawarkan khusus kepada golongan sasar sebagai alternatif mendapatkan rawatan di hospital pakar swasta pada kadar berpatutan.

“Sebagai kakitangan kerajaan mereka layak menerima rawatan komprehensif di hospital kerajaan tetapi ada kalanya terpaksa menunggu giliran agak lama.

“Justeru itu, menerusi CUEPACSCare mereka ditawarkan takaful penghospitalan dan pembedahan serendah RM32 melalui CUEPACSCare, manakala RM6 bagi takaful kemalangan diri CUEPACS PA yang memberi pampasan sehingga RM220,000,” ujarnya.

CUEPACSCare dan CUEPACS PA telah memberi perlindungan kepada lebih 500,000 penjawat awam dan ahli keluarga dengan jumlah tuntutan melebihi RM300 juta sejak awal pengenalannya.

Selain itu, dalam usaha untuk kekal relevan terhadap pasaran perlindungan takaful, Medicare turut merancang memper­kenalkan produk inovasi dengan memfokuskan kepada golongan penjawatan profesional awam atau peringkat pengurusan bagi memberi nilai perlindungan yang lebih besar.