Menterinya, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof berkata, dana tersebut diperoleh daripada pelbagai geran sedia ada sebagai pemangkin pembangunan projek.

“Dana yang telah diluluskan tidak lebih daripada RM20 juta, ia membantu menarik minat pelabur-pelabur lain untuk terlibat sama dalam projek kereta nasional ketiga ini.

“Namun banyak pelabur yang datang mengatakan tidak perlu ada dana pun, kami mulakan projek ini dan mereka (pelabur) datang de­ngan kepakaran, kebolehan dan kewangan mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Lestari: Inisiatif Pemerkasaan Keusahawanan Bumiputera di sini semalam.

Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Arif­fin, turut serta ebih daripada 300 wakil syarikat vendor Petronas.

Mohd. Redzuan menjelaskan, kementerian juga telah menyenarai pendek beberapa vendor untuk membangunkan prototaip kereta nasional itu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini me­ngakui banyak pihak menunjukkan minat yang tinggi terhadap projek kereta nasional ketiga.

Sementara itu, Program Lestari yang dibangunkan bersama Petronas dengan kerjasama MED bertujuan memperkasakan usaha pembangunan usahawan bumiputera dalam kalangan vendor Petronas.

Wan Zulkiflee menjelaskan, dua fokus utama dalam program tersebut ialah mengukuhkan ekosistem mi­nyak dan gas tempatan, terutamanya untuk usahawan sektor perkhidmatan serta peralatan mi­nyak dan gas (OGSE) bumiputera selain membina kemahiran usahawan.

“Hasrat kami adalah jelas, untuk melonjakkan profil serta kecekapan usahawan OGSE supaya dapat melahirkan lebih ramai usahawan yang mampu menembusi pasaran luar negara.

“Program ini menekankan kepen­tingan kepada usahawan OGSE bumiputera supaya memahami hala tuju jangka panjang industri bagi mengenal pasti peluang yang tersedia dalam pelbagai segmen industri yang bersesuaian dengan keupayaan teknikal mereka,” katanya.