Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Bank, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, pelaksanaan tersebut akan diteruskan selepas MBSB menukarkan sebahagian baki aset konvensionalnya bernilai RM1 bilion, bersamaan 10 peratus hingga 12 peratus daripada aset ke­seluruhannya kepada aset patuh syariah.

Katanya, ia bagi membolehkan MBSB Bank mempunyai pensijilan atau pengesahan patuh syariah sepenuhnya memandangkan bank itu telah memperoleh lesen untuk menjalankan perbankan Islam pada April tahun lepas.

“Di bawah rancangan perniagaan kami, Bank Negara Malaysia memberi tempoh tiga tahun untuk menukarkan semua aset konvensional.

“Peralihan ini akan membuka lebih banyak peluang. Apabila berubah kepada saham patuh syariah, adalah mudah untuk kami menarik lebih ba­nyak pelaburan,” katanya selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MBSB ke-49 di sini semalam.

Mengulas mengenai perkembangan MBSB Bank, Ahmad Zaini berkata, ia telah memulakan perkhidmatan perbankan online dan menjalankan kempen untuk memberi ganjaran kepada pelanggan setia serta pada masa yang sama menarik pe­langgan baharu.

“MBSB berhasrat memberikan khidmat terbaik kepada pelanggan sedia ada dan menarik pelanggan baharu melalui pelbagai kempen seperti Prime Fortune awal tahun dan kempen PrimeWin CASA-i April lepas,” katanya.

MBSB Bank merupakan bank Islam kedua terbesar di negara ini dan kini mempunyai 46 cawangan di seluruh negara.