Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Ahmad Zaini Othman berkata, sejak diposisikan menjadi ins­titusi perbankan, pihaknya berusaha untuk meningkatkan keupayaan dan nilai kompetitif syarikat agar terus berdaya bersaing dengan pemain lain dalam industri tersebut.

Beliau berkata, MBSB Bank membelanjakan sebanyak RM250 juta bagi mentransformasikan platform sedia ada kepada platform digital.

“Kami akan terus menggunapakai lebih banyak penyelesaian digital bagi semua kemudahan khususnya untuk melancarkan operasi.

“Justeru itu, MBSB Bank akan memperkenalkan aplikasi mudah alih dan e-walet selain menaik taraf lima buah cawangan sedia ada berasaskan digital menjelang suku ketiga tahun ini.

“Ia sekali gus meningkatkan persekitaran digital yang lebih baik, malah perkara ber­kenaan adalah selaras dengan hasrat kami untuk menjadi bank Islam premier bersama pengadaptasian teknologi semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran kempen CASA-i bersempena ulang tahun pertama MBSB Bank di sini semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Zaini menjelaskan, pihaknya menawarkan hadiah utama bernilai RM1 juta kepada pemegang akaun semasa dan simpanan sempena kempen PrimeWin RM1,000,000 CASA-i yang kini berlangsung sehingga 30 April ini.

“Kami optimis terhadap kempen ini yang menawarkan ganjaran kepada pelanggan sedia ada selain memberi pengalaman terbaik kepada pelanggan baharu terhadap perkhidmatan yang disediakan oleh MBSB Bank.

“Ia merupakan kempen sepanjang tahun. Meneru­sinya, kami menyediakan tiga peringkat hadiah yang disampaikan secara bulanan dan mengikut suku tahun dengan menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM2 juta,” jelasnya.

Pada majlis berkenaan, MBSB Bank turut melancarkan kad visa debit-i pertama­nya dan menyasarkan seba­nyak 200,000 pemegang kad dalam tempoh tiga bulan ini.