Pada masa ini terdapat 1.2 juta syarikat berkenaan yang berdaftar dengan SSM.

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, pihaknya tidak merancang untuk menjadikan kaedah pelaporan baharu itu mandatori pada peringkat awal pelaksanaan bagi membolehkan perniagaan terlibat menyesuaikan diri terlebih dahulu.

Namun, tambahnya, SSM berharap untuk menjadikan penggunaan platform berkenaan mandatori pada awal tahun 2019.

“MBRS merupakan sebuah platform serah simpan berdasarkan format eXtensible Business Reporting Language (XBRL) yang membenarkan serah simpan khusus pelaporan tahunan syarikat.

“Ia melibatkan penyata kewa­ngan dan laporan (FS), pe­nyata tahunan (AR) serta permohonan pengecualian (EA) yang berkaitan dengan FS dan AR.

“Pelaksanaan MBRS membolehkan kami mendapatkan maklumat dan data-data penting daripada syarikat berdaftar dengan lebih segera.

“Antara kesannya, SSM dapat menyediakan polisi serta produk yang bersesuaian kepada pihak berkenaan dengan lebih pantas dan cekap,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan tengah hari bersama pengamal media di sini semalam.

Zahrah menjelaskan, pada masa ini, penye­rahan laporan tahunan syarikat dilakukan secara penghantaran ke kaunter dan ini menyebabkan lambakan laporan serta kesukaran untuk mendapatkan maklumat yang diperlukan dalam masa yang singkat memandang­kan pencarian harus dibuat secara fizikal.

“Oleh itu, MBRS akan memudahkan urusan semua pihak berkepen­tingan serta memberi penjimatan sumber daripada aspek kos, masa dan tenaga memandangkan sistem ini adalah secara digital dengan penekanan dalam keselamatan data,” katanya.

Menjelaskan lanjut, beliau berkata, platform MBRS dilancarkan secara dua peringkat dengan pengenalan Alat Persediaan MBRS (mTool), iaitu sebahagian daripada komponen penuh MBRS, telah dibuat pada 22 Januari lalu.

Ini bagi membolehkan perniagaan terlibat membiasakan diri dan menyediakan format digital FS, AR atau EA secara luar talian sebelum diserah simpan ke platform MBRS kemudian.

“Dalam usaha untuk menjayakan sistem baharu ini, SSM telah dan akan terus menganjurkan sesi latihan bersama pe­ngarah, juruaudit dan setiausaha syarikat agar mereka mendapat ilmu dan kemahiran yang diperlukan,” jelasnya.

Beliau berkata, pembangunan sistem itu mendapat sokongan penuh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Maklumat lanjut berkenaan MBRS boleh didapati menerusi laman web www.ssm.com.my/ms/xbrl-ms.