Bank keempat terbesar di Asia Tenggara dari segi aset itu juga mencatatkan peningkatan keuntungan bersih sebanyak 11.5 peratus kepada RM7.52 bilion berban­ding RM6.74 bi­lion sebelumnya.

Ia juga merupakan kali pertama keuntungan bersih Maybank melepasi tahap RM7 bilion.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Abdul Farid Alias berkata, prestasi yang lebih baik itu berasaskan pendapatan yang lebih kukuh daripada semua segmen perniagaan dan operasi luar negara utama, kerugian rosot nilai yang jauh lebih rendah serta pengurusan aset dan liabiliti yang lebih baik.

“Kami gembira dengan rekod yang dicapai walaupun dalam persekitaran operasi luaran yang tidak menentu pada tahun lepas.

“Strategi kami dalam menguruskan risiko dengan baik, mengekalkan portfolio yang pelbagai, meningkatkan kecekapan merentasi rang­kaian serta memanfaatkan keupayaan digital te­lah membantu kami untuk terus mencipta nilai untuk semua pemegang kepentingan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung pengumuman prestasi tahun kewangan 2017 Maybank di sini semalam.

Turut hadir, Pengerusinya, Datuk Mohaiyani Shamsudin dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Maybank, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir.

Abdul Farid berkata, pihaknya terus berhati-hati dengan kejutan persekitaran dan mengekalkan pendekatan bijak dalam mencapai pertumbuhan dengan menumpukan kepada keuntungan, pengurusan kos serta kecairan yang berkesan, bukan sekadar mengejar pertumbuhan pinjaman.

Menyatakan bahawa Maybank akan terus berwaspada tetapi optimis de­ngan prospeknya pada tahun ini, beliau berkata pihaknya menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan disokong oleh peningkatan segmen korporat dan pinjaman pengguna yang terus stabil.

“Kami menjangkakan pertumbuhan pembiayaan bagi tahun 2018 dalam anggaran lima peratus, sama de­ngan pencapaian pada tahun lalu,” katanya.