Ketua Kad dan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan Maybank, B. Ravintharan, berkata, pada 2017, kumpulan perbankan itu menyaksikan peningkatan ketara bilangan transaksi kad debit, dengan lebih 65 juta transaksi bernilai lebih RM11 bilion.

Katanya, kad debit Maybank telah berkembang menjadi sehingga lapan variasi produk, dengan lebih sembilan juta pemegang kad debit aktif. 

“Penggunaan kad debit kami juga semakin meningkat sejak beberapa tahun lalu yang menyaksikan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 22 peratus,” katanya kepada pemberita susulan pelantikan selebriti yang baru melangsungkan perkahwinan, Fattah Amin dan Nur Fazura Sharifuddin, sebagai duta rasmi Jenama Kad Debit Maybank, di sini, hari ini.    

Ravintharan berkata, 62 peratus daripada bil Idebit Maybank pada masa ini adalah daripada segmen profesional muda berusia antara 21 dan 40 tahun.

Sementara itu, Maybank turut melancarkan kempen penggunaan kad debit selama tiga bulan untuk pemegang kad baharu dan sedia ada yang menawarkan pakej percutian dengan Duta Jenama Debit.

Kempen berkenaan bermula hari ini sehingga 15 Mei 2018 dengan perbelanjaan minimum sebanyak RM250 dalam satu resit, untuk lima pasangan bertuah.

Maybank adalah peneraju perniagaan kad debit dengan penguasaan 37.4 peratus bahagian pasaran.   

Bank itu juga menerajui dalam jumlah transaksi dagangan untuk kad debit dan kad kredit dengan penguasaan pasaran sebanyak 38.7 peratus. - Bernama