Ketua Pegawai Teknologi Maxis,­ Morten Bangsgaard berkata, Rangkaian A.I. dibina di atas infrastruktur 5G dengan jejakan optik fiber meluas kepada stesen pangkalan mudah alih di seluruh negara.

Menurut beliau, rangkaian tersebut dibentuk dengan seni bina rangkaian Next-Gen IP serta­ perisian rangkaian tekno­logi terkini bagi mengoptimumkan trafik data dan memperbaiki diri sendiri.

“Pembinaan rangkaian ini adalah untuk memastikan bahawa pengalaman internet menjadi lebih lancar serta sentiasa terhubung untuk aplikasi-aplikasi perniagaan yang kritikal.

“Rangkaian yang berdaya tahan, tangkas serta sedia berskala adalah amat penting untuk penyelesaian perusahaan Maxis yang semakin berkembang bagi memenuhi keperluan pelanggan kami,” katanya dalam satu kenya­taan di sini semalam.

Tambah Bangsgaard, rang­kaian A.I. akan memberi soko­ngan kepada teknologi Kawasan Luas Kuasa Rendah (LPWA) yang dibina dengan keupayaan 5G dan direka untuk penggunaan perindustrian berskala besar pihak perusahaan dan kerajaan.

“Bagi menampung permintaan pengalaman internet yang baik, rangkaian tersebut juga mampu menyediakan analisis yang lebih tepat sekiranya berlaku gangguan rangkaian untuk pelanggan- pelanggan individu supaya dapat mencapai penyelesaian panggilan pertama yang lebih baik.

“Rangkaian itu terbukti membantu dalam kesinambungan perniagaan dengan sistem pemberitahuan Rangkaian A.I. yang proaktif serta menangani ke­perluan perniagaan yang kritikal dan penyelenggaraan proaktif,” katanya. - K! ONLINE