Awal tahun ini, syarikat itu membeli kemudahan tempat letak kereta di Hospital Sultanah Aminah di sana yang mempunyai lebih 2,000 ­ruang parkir, kata Pengarah Eksekutif syarikat, Alex Chin Wing Wah.

“Kami sedang dalam proses untuk mendapatkan kemudahan tempat letak kereta yang kami jangka akan menjana pulangan yang baik.

“Pada awal tahun ini, kami meneroka ke Johor Bahru dan berjaya mengurus parkir hospital terbesar di Johor Bahru, Hospital Sultanah Aminah,” katanya kepada pemberita pada acara penyenaraian syarikat itu di pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP) Bursa Malaysia di sini semalam.

Matrix Holdings merupakan syarikat perkhidmatan pengurusan tempat letak kereta pertama yang dise­narai di Malaysia dan setakat ini syarikat telah memperoleh 27 lot parkir di Lembah Klang.

Ia turut memiliki kemu­dahan parkir Casa Residenza di Kota Damansara dan dalam proses mengambil alih kemudahan parkir baharu di kawasan itu yang dijangka selesai dalam tempoh dua bulan.

Wing Wah berkata, pengambilalihan itu adalah sebahagian daripada strategi pelbagai serampang Matrix Holdings untuk mengekalkan pertumbuhan perniagaan yang mampan dan mewujudkan nilai pemegang saham untuk jangka panjang.

Mengenai dasar dividennya, beliau berkata, syarikat itu memperuntukkan 30 pe­ratus daripada keuntungan bersihnya kepada para pemegang saham setiap tahun.

Dalam penyenaraian itu, Matrix Holdings me­ngumpul RM2.6 juta melalui penempatan persendirian sebanyak 20 juta saham pada 13 sen sesaham kepada pelabur.

Dana tersebut akan digunakan untuk membeli pe­ralatan parkir, pembelian kemudahan parkir, keperluan modal kerja am dan kos penyenaraian. – Bernama