Ini disebabkan ketegangan perdagangan yang semakin buruk antara dua kuasa ekonomi besar itu melembapkan lagi sektor berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Silterra Malaysia Sdn. Bhd. (Silterra), Firdaus Abdullah berkata, pengeluar cip tempatan itu kini berusaha mengimbangi portfolio pendapatannya selain meneroka bidang baharu.

“China menghadapi ketidaktentuan akibat perang perdagangan. Justeru kami me­laksanakan pelan kontingensi yang perlu bagi mengimbangi impak perdagangan China de­ngan perniagaan dari kawasan-kawasan lain seperti Eropah. Inilah masanya untuk pelan B,” katanya.

Pada masa ini, China me­nyumbang 34 peratus daripada jumlah pendapatan syarikat, manakala 11 peratus adalah dari AS, 31 peratus dari Taiwan manakala Eropah menyumbang 24 peratus.

“Kami berharap keadaan akan menjadi lebih baik, namun jika ia bertambah buruk kami perlu bersedia mena­nganinya,” katanya.

Silterra, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Bhd. antara lain membekalkan produk cip kepada Google, Apple dan Amazon.

Syarikat itu turut mempelbagaikan perniagaan terasnya daripada pembuatan cip tradisional untuk komputer dan telefon kepada penghasilan cip untuk industri automotif, sains hayat, internet semua benda (IoT), serta cip berasaskan fotonik untuk pelayan data dan telekomunikasi.

Sehingga tahun lepas, segmen baharu yang diceburi Silterra telah menyumbang kira-kira enam peratus daripada jumlah hasil dan syarikat itu berminat menambah angka itu dalam bidang baharu.

“Potensi segmen ini sangat besar dan kami mahu berada di barisan hadapan dalam mencetus inovasi. Kami menyasarkan sekurang-kurangnya pertumbuhan dua kali ganda dalam segmen ini tahun depan,” jelas Firdaus. – Bernama