Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Izham Ismail berkata, para pelanggan MAS kini berpeluang membeli produk perlindungan takaful tersebut secara serentak dengan pembelian tiket mereka.

“Ketika ini, terdapat permintaan tinggi bagi produk perlin­dungan takaful dalam kalangan pelancong antarabangsa.

“Sehubungan itu, kami melancarkan produk komprehensif seumpama ini yang mematuhi syariah dan dalam masa sama, turut menawarkan pelanggan beragama Islam dan bukan Islam perlindungan perjalanan menyeluruh dengan perkhidmatan bantuan terbaik.

“MHinsure Travel Takaful akan menawarkan pelancong manfaat yang sama dengan produk-produk insurans perjalanan tradisio­nal, namun dengan dua manfaat tambahan untuk Badal Haji dan Ihsarr,” katanya dalam satu ke­nyataan akhbar di sini semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Group, Kamaludin Ahmad berkata, kerjasama dengan MAS yang telah bermula sejak tahun 2008 itu kini dipertingkatkan kepada satu tahap baharu.

“Usaha sama strategik yang berterusan ini akan terus me­ngukuhkan kehadiran global bagi jenama Etiqa dengan memanfaatkan destinasi-destinasi tertentu MAS atau rakan kongsinya serta rangkaian glo­bal Cover-More,” jelasnya.

Dalam pada itu, Pengarah Penerbangan Global Cover-More, Mark Fuller berkata, pelancaran MHinsure Takaful merupakan pertambahan terbaharu kepada hubungan jangka panjangnya dengan MAS dan Etiqa.

“Dengan ini, kami dapat menyediakan perkhidmatan bantuan perubatan global kepada pelanggan yang inginkan perlindungan produk takaful yang komprehensif,” katanya.